Jerebu: Johan Setia, Port Dickson catat IPU tidak sihat

Jerebu: Johan Setia, Port Dickson catat IPU tidak sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kawasan Johan Setia di Klang, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat 147 dan 140 ekoran jerebu rentas sempadan yang melanda negara semalam.

Menurut kemas kini di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 6.30 petang semalam yang dikendalikan Ja­batan Alam Sekitar (JAS), 60 kawasan terlibat merekodkan bacaan sederhana (51-100) manakala enam stesen berada dalam kategori baik (0-50).

Antara lokasi dengan bacaan IPU sederhana tertinggi adalah Banting, Selangor (97); Cheras, Kuala Lumpur (91); Nilai, Negeri Sembilan (90); Kuala Terengganu, Terengganu (85) dan Seremban, Negeri Sembilan (84).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempertingkat tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan berisiko tinggi berlaku pembakaran terbuka susulan peningkatan ancaman jerebu di beberapa lokasi negara.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihaknya turut memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif bagi menangani kea­daan cuaca berjerebu.

“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan antara agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip pula berkata, beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dilanda jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Katanya, berdasarkan pence­ra­pan imej satelit NOAA-20 ber­tarikh 18 Julai 2025 yang dianalisis oleh Pusat Meteo­rologi Khas ASEAN (ASMC), sebanyak 79 titik panas dikesan di kawasan Sumatera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN