KUALA LUMPUR: Jenayah seksual terhadap kanak-kanak di negara ini meningkat sebanyak 53.2 peratus dalam tempoh empat tahun, daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah mangsa turut meningkat sebanyak 55.7 peratus daripada 2,561 kepada 3,988 orang.
Katanya, peningkatan itu dikaitkan dengan perkembangan teknologi dan revolusi industri, memperlihatkan modus operandi jenayah yang semakin canggih, termasuk penggunaan teknologi deepfake dan pencurian identiti digital.
“Justeru, kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menangani isu ini secara menyeluruh, tegas dan berkesan.
“Ini termasuk penganjuran Seminar Perlindungan Kanak-Kanak: Menangani Ancaman Siber dan Jenayah Seksual pada November nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 2 Tahun 2025 dalam usaha menyelaras pelaksanaan dasar sosial secara menyeluruh dan rentas kementerian.
Mesyuarat itu juga telah meneliti pelaksanaan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 dan pembangunan Pelan Tindakan 2026–2030.
DSN 2030 merupakan dasar induk yang menyelaras 44 Dasar Sosial Negara.
Pelan Tindakan DSN 2026 -2030 kini di fasa akhir dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Oktober ini.
Ahmad Zahid berkata, majlis itu juga turut meneliti isu gelandangan yang mengalami gangguan mental tetapi terlepas daripada intervensi rawatan akibat ketiadaan penempatan khas.
“Majlis menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi membina rumah jagaan kejururawatan psikiatri,” katanya.
Tambah Ahmad Zahdi, mesyuarat turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras isu pendaftaran, keselamatan, kesihatan serta strategi kurikulum dan tenaga pengajar, sekali gus memastikan sistem pendidikan awal kanak-kanak lebih teratur dan berkesan.
“Mesyuarat turut meneliti isu ketidakpadanan kemahiran graduan yang semakin meruncing apabila Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati seramai 2.06 juta graduan kini bekerja dalam sektor yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka,” katanya.
Justeru bagi menangani isu berkenaan, Ahmad Zahid berkata, inisiatif MyMAHIR yang diterajui Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama TalentCorp telah dilancarkan.
“Setakat ini, sebanyak 66 program latihan berteraskan industri telah diluluskan di bawah Majlis Bakat Kemahiran Masa Hadapan MyMAHIR, meliputi sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan ekonomi hijau.
“Program ini bukan sahaja menyediakan latihan berkemahiran tinggi, malah menjanjikan peluang pekerjaan dengan purata gaji permulaan antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan,” katanya.-UTUSAN









