ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menerusi syarikat milikannya, Johor Corporation (JCorp) bekerjasama dengan sebuah syarikat pertanian antarabangsa bagi membangunkan ladang tanaman menegak terbesar di Malaysia.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Projek Ladang Menegak Farmbyte Archisen itu berkeluasan 52,000 kaki persegi.
“Ini merupakan satu detik bersejarah buat Johor, Malaysia dan Singapura apabila projek kerjasama dengan nilai pelaburan RM40 juta yang dirancang pada 2023 telah memulakan operasinya.
“Kerjasama ini bakal membantu hasrat kerajaan negeri membina ekosistem pertanian yang lebih baik dan moden untuk kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek berkenaan di Taman Perindustrian Nusajaya 2, Gelang Patah, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip.
Onn Hafiz, kerjasama tersebut dijangka akan membuka laluan kepada lebih banyak syarikat berkaitan pertanian lain bekerjasama dalam ekosistem pertanian di negeri ini.
“Ini hanyalah permulaan, ‘work in progress’. Selain turut merancang untuk membesarkan lagi saiz operasi, kita juga jangka akan ada syarikat pertanian lain turut terlibat pada masa depan,” jelasnya.
Sementara itu, Ting Han pula memberitahu, projek kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada tanaman sayuran ‘ice plant’ yang kini semakin mendapat tempat dalam pasaran tempatan dan Singapura.
“Produk pertama syarikat kerjasama ini akan berada di pasaran pada September depan. Difahamkan 50 peratus akan dipasarkan di Malaysia, manakala 50 lagi di pasaran Singapura.
“Selepas itu kajian akan dibuat untuk menambah produk lain selain memperluas operasi, kerana produk keluaran syarikat ini sudah mempunyai pembeli tersedia,” katanya. – UTUSAN