JASIN: Dasar pembangunan pelancongan Melaka tidak lagi tertumpu di kawasan bandar dan lokasi ikonik semata-mata, sebaliknya kini beralih ke Jasin dan Alor Gajah untuk dijadikan destinasi pelancongan luar bandar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pelancaran Eco-Cruise Tasik Chin Chin di Jasin adalah satu inisiatif menyuntik nafas baharu dalam landskap pelancongan negeri.
Katanya, Eco-Cruise Tasik Chin Chin bukan sekadar penambahan produk pelancongan tetapi menunjukkan kesiapsiagaan kerajaan negeri menjelang sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Chin Chin bukan sekadar tasik tetapi adalah simbol kepada transformasi luar bandar yang digerakkan secara berstrategi dengan nilai warisan dan daya kreativiti tempatan untuk menjadi testimoni kejayaan perancangan pembangunan holistik dan berpaksikan rakyat.
“Justeru, pelaburan menerusi Eco-Cruise Chin Chin ini pastinya menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dengan menjana banyak peluang pekerjaan, merancakkan perusahaan mikro, inap desa, produk tempatan serta perkhidmatan berkaitan,” katanya ketika berucap merasmikan Eco-Cruise Tasik Chin Chin di sini, semalam.
Ab. Rauf berkata, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyediakan sebuah bot berkapasiti 30 penumpang bagi setiap sesi selama 30 minit, sambil menikmati pemandangan dan mengenali asal usul Kampung Chin Chin.
Katanya, sejak mula beroperasi pada 11 Julai lalu, PPSPM merekodkan lebih 70 trip dengan kehadiran 1,500 pengunjung dari dalam dan luar negeri hanya dalam tempoh 11 hari.
“Melihat kepada potensi besar kawasan ini serta daya tarikan unik yang ditawarkan oleh Kafe Markisa dan Taman Ekstrim Chin Chin Jasin yang juga baru sahaja dinaik taraf, saya yakin Tasik Chin Chin bakal muncul sebagai satu lagi ikon pelancongan unggul di Melaka,” katanya. – UTUSAN











