PETALING JAYA: Keyakinan terhadap institusi kehakiman perlu dikekalkan dengan memastikan pelantikan dibuat berdasarkan merit, kecekapan dan pengalaman, tanpa pengaruh politik atau tekanan luar.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, semua pihak perlu menghormati proses pelantikan ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) melaksanakan tugas penuh tanggungjawab.
Katanya, IKIM menyeru rakyat Malaysia agar kekal tenang dan tidak terperangkap dalam spekulasi negatif yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi kehakiman.
“Rakyat juga digalakkan untuk memahami fakta-fakta berkaitan proses ini melalui sumber yang sahih dan bukannya bergantung kepada naratif liar yang mungkin tidak lengkap atau berat sebelah.
“IKIM komited untuk menyokong kebebasan dan integriti institusi kehakiman sebagai tunjang utama dalam menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.
“Kami menyokong cadangan reformasi yang memperkukuh ketelusan dalam pelantikan hakim termasuk mengurangkan peranan eksekutif dalam proses ini, selama mana selari dengan Perlembagaan dan semangat demokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Azam berkata, pihaknya berharap supaya pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim mahkamah atasan lain dibuat dalam tempoh munasabah untuk mengelakkan kekosongan berpanjangan yang boleh menjejaskan pentadbiran keadilan.
“Kami menegaskan bahawa proses ini perlu dijalankan dengan penuh ketelusan, integriti dan mematuhi prosedur yang ditetapkan untuk menjamin kebebasan kehakiman.
“Kami memahami kebimbangan sesetengah pihak terhadap kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara dan spekulasi mengenai kemungkinan campur tangan eksekutif,” katanya.
Walau bagaimanapun katanya, kekosongan jawatan ini adalah sebahagian daripada peralihan biasa dalam institusi kehakiman dan tidak sepatutnya dipolemikkan. – UTUSAN










