PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kefahaman masyarakat terhadap konsep budaya perlu diperluas dan tidak lagi dilihat secara sempit sekadar elemen muzik atau pakaian tradisional.
Beliau berkata, ia perlu sebagai satu sistem nilai yang merangkumi cara hidup, pemikiran dan warisan bangsa.
“Saya menerima kunjungan hormat daripada Ahli Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN), sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai penasihat dalam hal ehwal seni, budaya dan warisan negara.
“Dalam pertemuan ini, perbincangan turut menyentuh usaha memperluas kefahaman masyarakat terhadap konsep budaya yang tidak seharusnya dilihat secara sempit seperti sekadar muzik atau pakaian tradisional tetapi sebagai satu sistem nilai yang merangkumi cara hidup, pemikiran dan warisan bangsa,” katanya di dalam Facebook hari ini.
Tambah beliau, pembangunan negara tidak boleh hanya berlandaskan pencapaian fizikal atau projek mega semata-mata.
“Sebaliknya, ia harus turut diperkaya dengan nilai, identiti serta elemen budaya yang mencerminkan citra Malaysia yang unik dan berakar dalam sejarah serta jiwa rakyatnya,” katanya. – UTUSAN