Minggu ini dunia seni tempatan dihangatkan dengan isu melibatkan figura legenda hip hop 90-an, AC Mizal dan kumpulan 4U2C, termasuk penerbit Man Senoi dan Mama Rap.
Bagaimanapun, isu mereka ini tentunya meraih perhatian daripada warga pengkarya seni tanah air dan adalah beberapa orang yang tampil memberikan pandangan.
Tetapi, Cik Bunga pun tak sangka, dalam banyak-banyak nama, AC dikatakan kurang senang dengan kenyataan jujur komposer terkenal, Ajai.
Bagi Cik Bunga, tak patut juga AC ‘tersinggung’ dengan Ajai kerana komposer dan penyanyi itu hanya menjawab pertanyaan media tempoh hari dan kenyataannya dibuat adalah sekadar perkongsian fakta dalam hal berkaitan atas niat mendidik.
Cik Bunga percaya, Ajai pun tiada niat hendak menutup periuk nasi 4U2C yang mahu buat konsert kerana kalau diteliti pada penjelasan Ajai di kenyataan yang dikeluarkan kepada media, dia pun menasihatkan supaya sebaik-baiknya 4U2C, Man Senoi dan Mama Rap bersemuka bagi menyelesaikan isu antara mereka.
Jadi, Cik Bunga fikir, tak wajarlah Ajai turut dipersalahkan gara-gara kenyataannya tempoh hari.
Cik Bunga percaya, masing-masing juga profesional dan sudah lama dalam bidang seni ini, janganlah hendak saling bertelingkah sedangkan sesuatu perkara itu boleh diselesaikan dengan baik.
Mungkin AC juga sedang dibelenggu kekusutan berhubung isu, jadi Cik Bunga rasa AC kena tarik nafas dan cari sedikit ruang untuk berfikir dengan baik.
Tak salahkan AC juga sebab dia dan rakan-rakan anggota 4U2C pun tak sangka keadaan jadi macam ini sedangkan niat asal mereka hanyalah mahu menghiburkan peminat yang dah lama menanti kemunculan mereka di pentas besar.
Apa-apa pun, diharapkan kemelut ini dapat diselesaikan dengan baik dan matang.