‘Jangan melenting, jawab dengan fakta sebenar’

‘Jangan melenting, jawab dengan fakta sebenar’

MOHD. Yadzil Yaakub (tengah) bersama dua ADUN pembangkang DUN Melaka iaitu Dr. Mohd. Aleef Yusof (kiri) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis.-UTUSAN/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri tidak perlu melenting sekiranya tidak berpuas hati dengan data atau isu yang dibangkitkan pembangkang sebaliknya menjawab permasalahan itu dengan fakta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, maklumat diterima pembangkang diperoleh daripada pelbagai sumber seperti orang awam, swasta, parti politik dan individu yang berada di dalam kerajaan negeri sendiri.

Beliau berkata, perbuatan menyindir atau memperlekehkan sumber maklumat pembangkang mencerminkan sikap kerajaan negeri yang tidak boleh menerima teguran.

“Saya yakin maklumat ini mungkin pernah disuarakan di saluran yang betul. Apabila sampai satu tahap setiap permasalahan tiada tindakan mereka akan cari alternatif lain iaitu pembangkang. 

“Apa yang tidak betul kami tegur dan jika tindakan itu dianggap scam (menipu) bermaksud kerajaan sekarang ini bukan berjiwa besar. Kalau salah jawab dengan fakta dan jangan pula menyalahkan siapa yang bersuara atau pemberi maklumat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh ketika ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka membidas sikap pihak tertentu termasuk pembangkang yang didakwa menyebarkan maklumat tidak tepat melalui media sosial termasuk menerusi aplikasi TikTok.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan pula meminta rakyat lebih berwaspada dan tidak mudah percaya sebarang maklumat ekoran terdapat pihak tertentu yang didakwa gemar ‘bersidang’ di platform media sosial dipercayai dengan niat menimbulkan kekeliruan masyarakat.

Mohd. Yadzil dalam pada itu berkata, sesuatu isu yang dibangkitkan bukan dilakukan secara semberono sebaliknya setiap maklumat yang diterima ditapis terlebih dahulu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban itu, tidak semua sumber boleh didedahkan kerana pemberi maklumat bimbang mereka akan dikenakan tindakan.

“Sesetengah maklumat yang kamo terima adalah sulit dan disampaikan sendiri oleh orang dalam. Sebab itu kami cakap dapat daripada sumber-sumber tertentu. Pokok tidak akan bergoyang kalau tiada angin. Jadi kami bawa ke dalam Dewan untuk mendapatkan maklum balas daripada kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN