KUALA LUMPUR: Terkejut namanya terpalit dengan kontroversi selepas bergelar isteri, pelakon, Ezlisa Loy enggan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.
Jelas Ezlisa atau Nurul Ezlisa Loy Ahmad Sabri, 29, dia hanya mahu bergembira selain mengucapkan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha menjayakan hari bahagianya.
“Isu dia tak besar tapi cuma apa yang saya nak ketengahkan ialah kerja keras seseorang, mereka yang buatkan baju saya. Hanya nak gembira pada hari bahagia saya.
“Saya takut nak bagi kenyataan sebab boleh jadi positif atau negatif.
“Saya pun baru berkahwin jadi saya nak jaga nama keluarga saya dan suami, tak nak bagi banyak kenyataan. Saya okey, harap semua orang okey,” katanya.
Ezlisa ditemui Utusan Malaysia semasa sidang akhbar Home Of Drama Astro, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pelakon Debunga Lalang itu juga mengakui ilham busana tersebut diambil daripada foto yang disukainya di internet.
“Saya terkejut sebab bila dah kahwin saya risau orang cakap buruk fasal perkahwinan saya.
“Setiap hari saya doa tiada sebarang benda negatif mengenai perkahwinan saya. Kalau boleh tak nak apa-apa pergaduhan.
“Saya rancang semua, ilham saya ambil dari Pinterest untuk baju saya, kain saya ambil daripada Rizman Ruzaini,” ujarnya.
Mengulas mengenai kenyataan kakaknya yang juga pelakon Elfira Loy, Ezlisa meminta maaf sekiranya kenyataan yang dikeluarkan menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Dia ada bagi nasihat, sebagai kakak dia bersifat ‘protective’ (sangat melindungi) dan saya pun begitu.
“Kakak cakap bergembira di hari bahagia saya, jangan emosi sangat.
“Kalau ada terasa daripada pihak kami, saya mohon maaf supaya tak besarkan isu ini. Jangan gaduh fasal baju,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Ezlisa menjadi tumpuan apabila baju perkahwinannya iaitu busana songket berwarna biru dikatakan meniru baju pempengaruh, Ally Mukhriz.
Semuanya bermula apabila Ally memuat naik gambar busana perkahwinanya lima tahun lalu.
Warga maya terus membuat perbandingan antara baju Ezlisa yang dibuat oleh Samm Republic dengan baju Elly yang dihasilkan pereka, Fiziwoo.
Perkara tersebut menjadi hangat apabila kakak kepada Ezlisa, Elfira meninggalkan komen berbaur sindiran.
Ally yang memuat naik gambar baju perkahwinannya juga mengatakan tiada niat mengguris hati sesiapa dan mendoakan kebahagiaan buat Ezlisa dalam menempuh alam perkahwinan
Terdahulu, Ezlisa selamat berkahwin dengan pilihan hati, Hafiz Azizi pada 29 Jun 2025.- UTUSAN