BUKIT JALIL: Band popular Indonesia, Sheila On 7 (SO7) mengubat rindu peminat dengan kemunculannya di Latihan Pesta Pora, semalam.
SO7 yang dianggotai Duta (Akhdiyat Duta Modjo) sebagai vokalis, Eross (Eross Candra) gitar dan Adam (Adam Muhammad Subarkah) pemain bass gembira bertemu peminat, Sheila Gank di Malaysia sekali gus menghadiahkan 17 lagu pada konsert tersebut.
“Selamat malam Malaysia juga mereka yang datang dari seberang iaitu negara saya. Terima kasih sudah meluangkan hujung minggu anda di sini bersama Latihan Pesta Pora. Sudah lama saya tidak ke sini.
“Alhamdulillah, tahun ini kami boleh datang ke Kuala Lumpur bertemu kawan-kawan semua.
“Terima kasih Latihan Pesta Pora dan kalian semua yang percaya malam ini akan lebih seronok jika luangkan masa bersama-sama,” kata Duta ketika beraksi selama 90 minit di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Bukan itu sahaja, Duta dalam nada berseloroh mengajak penonton sebayanya yang mungkin sudah berusia untuk tetap bergembira dan bernyanyi bersama-sama.
“Kami sudah tidak muda lagi, ada antara kalian yang seusia kami? Harapnya tidak penat ya.
“Terima kasih Sheila Gank Surabaya palembang Bandung sudah tentu tuan rumah Sheila Gank Malaysia, kita semua adalah keluarga besar.
“Kalau pesta ini berlangsung hari Ahad, mesti Isnin anda minta cuti. Tapi besok (Ahad) cuti, malam ini jangan ditahan-tahan ya,” tambah Duta.
SO7 dalam pada itu tenang berdepan gangguan teknikal apabila gitar berwarna hijau yang dipetik Eross tidak berbunyi ketika lagu Saat Aku Lanjut Usia.
“Tadi gitar saya mati,” kata Eross yang cekap mengendalikan masalah teknikal tersebut.
Bukan itu sahaja, turut mencuri tumpuan apabila Eross menunjukkan bakatnya ‘menggoreng’ gitar dalam keadaan terbalik yang mendapat sorakan orang ramai.
SO7 menyanyikan lagu hits mereka antaranya Seberapa Pantas, Dan, Melompat Lebih Tinggi, Kisah Klasik Untuk Masa Depan, Hari Bersamanya,
Berhenti Berharap dan lain-lain.
Kali terakhir SO7 beraksi di Malaysia adalah menerusi Konsert Sheila On 7 Live In Kuala Lumpur di Starxpo Centre, Kenanga Fashion Mall (KWC) pada 2018. -UTUSAN