KUALA LUMPUR: Ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin memuncak, ramai pemimpin politik berdepan dengan spekulasi berkaitan isu rasuah yang bertujuan mencemarkan imej pemimpin berkenaan.
Fenomena ini bukan perkara baharu dalam landskap politik Sabah. Malah, sejak beberapa dekad lalu, negeri ini sering kali menjadi medan kontroversi apabila wujudnya dakwaan penyelewengan dana, salah guna kuasa, pemberian projek secara tidak telus dan kepentingan kroni yang dilihat melemahkan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.
Kini seperti menjadi ‘budaya’, isu rasuah mula dimanipulasi oleh pihak tertentu dengan menjadikan ia sebagai ‘perangkap’ yang akhirnya menjadikan ahli politik sebagai mangsa atau umpan dalam permainan mereka khususnya pada musim pilihan raya.
Sama ada isu rasuah itu benar ataupun tidak, ia tidak lagi menjadi fokus kerana yang penting imej seseorang pemimpin itu sudah tercalar, sekali gus akan berlaku defisit kepercayaan dalam kalangan masyarakat, malah keadaan akan terus lebih buruk jika pemimpin tersebut tidak menenuhi permintaan pihak tertentu.
Secara dasar, sudah menjadi rahsia umum dalam dunia politik Malaysia, hubungan antara ahli politik dan ahli perniagaan kadang kala membentuk ‘pakatan tidak rasmi’ yang bertujuan membela nasib rakyat namun ia juga berisiko membuka ruang kepada rasuah dan salah guna kuasa terutama bagi yang tamak dan gelap mata.
Di sebalik kerjasama yang kelihatan profesional, terdapat juga elemen manipulatif di mana ahli perniagaan bertindak memerangkap pemimpin untuk mendapatkan kepentingan ekonomi, kontrak, atau kedudukan pengaruh.
Ia bermula dengan dengan strategi halus di sebalik mesyuarat dan rundingan dimana sering kali, ahli politik akan dijemput menghadiri majlis sosial, mesyuarat perniagaan, atau sesi perbincangan tertutup oleh ahli perniagaan tempatan atas nama ‘kerjasama ekonomi’ atau ‘pembangunan komuniti’. Pada peringkat awal, perbincangan dilakukan secara sah dan mesra sebagai langkah permulaan untuk membina kepercayaan.
Setelah hubungan terbentuk, sesetengah ahli perniagaan akan mula menawarkan bantuan kewangan, tajaan program politik, kemudahan logistik, atau bahkan ‘hadiah peribadi’ seperti kenderaan atau tiket percutian. Tujuannya adalah untuk mencipta sense of obligation atau rasa terhutang budi terhadap ahli politik tersebut.
Dalam kes yang lebih licik, pertemuan-pertemuan ini direkod secara rahsia, sama ada melalui rakaman video tersembunyi, bukti transaksi bank atau perbualan menerusi WhatsApp, yang kemudiannya boleh dijadikan ‘senjata politik’ sekiranya ahli politik terbabit tidak memenuhi permintaan atau melawan kepentingan ahli perniagaan tersebut.
Ada juga situasi di mana ahli politik didesak menandatangani dokumen perjanjian ‘kerjasama’, kononnya sebagai bentuk sokongan kepada projek pembangunan. Tetapi dokumen tersebut boleh dimanipulasi dan diguna untuk mendakwa berlaku rasuah atau konflik kepentingan.
‘Serangan manipulatif’ ini akan berlaku kepada mana-mana pemimpin tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang kini fokus membangunkan Sabah secara integriti.
Namun akan ada pihak yang mengambil kesempatan supaya permintaan mereka dipenuhi. Jika tidak, peluang yang sama turut akan ditawarkan kepada pihak lawan bagi menjatuhkan kerajaan negeri Sabah pada hari ini.
Menjadikan skandal rasuah perlombongan di Sabah sebagai contoh, kini siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beralih pula kepada pembabitan pemimpin utama UMNO Sabah dalam jaringan kartel lesen dan konsesi mineral dengan dalangnya dikatakan disokong dana dari luar negara.
Bermula kononnya sebagai ‘pemberi maklumat’ atau whistleblower, Datuk Albert Tei yang didakwa sebagai dalang sebenar kartel mineral Sabah menggunakan taktik rakaman rahsia untuk mengugut dan mengawal pemimpin politik. Dua hari sebelum pendakwaannya di mahkamah pada 30 Jun, Albert Tei melepaskan video rakaman terhadap tiga lagi ADUN STAR dan dua dari PBS, semuanya anggota kanan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk dua Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Maka, sebab itu Hajiji sebelum ini sering menegaskan tuduhan terhadap dirinya sebagai ‘fitnah politik murahan’ yang sengaja direka untuk menjejaskan reputasinya sebagai ketua kerajaan negeri. Malah, beliau juga menyifatkan dakwaan rasuah tersebut sebagai fitnah jahat yang bermotifkan politik.
“Saya ingin tegaskan, sepanjang saya menerajui kerajaan negeri, semua keputusan melibatkan tender, projek, dan perolehan dibuat secara profesional dan mengikut garis panduan perundangan. Tiada sebarang urus niaga peribadi atau kronisme.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah dalam mana-mana kapasiti terlibat dengan sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Semua perolehan dan pelantikan dalam kerajaan negeri dibuat secara telus dan mengikut prosedur undang-undang sedia ada,” katanya sebelum ini.
Malah, beliau turut menambah bahawa kerajaan pimpinannya sejak 2020 telah mengambil pelbagai langkah reformasi tadbir urus bagi memastikan pentadbiran yang bersih, termasuk memperkenalkan sistem tender terbuka serta memperkasakan peranan agensi pemantau dalaman.
Dalam hal ini, Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Roslan Mahmud pernah menegaskan musim pilihan raya adalah medan yang sangat mudah dimanipulasi oleh musuh politik, sekali gus ia memerlukan sikap yang lebih berwaspada dalam setiap bentuk pertemuan, rundingan atau urusan yang melibatkan pihak ketiga.
“Kadangkala perangkap politik dipasang dengan rapi melalui rundingan ‘mesra’ yang direkod secara haram atau diatur untuk menjatuhkan reputasi pemimpin. Ada yang dijemput berbincang secara tidak rasmi mengenai projek komuniti, tetapi kemudiannya dituduh sebagai ‘deal gelap’,” katanya.
Hajiji dan pemimpin GRS pada saat ini meskipun berdepan tekanan daripada pihak tertentu dengan cubaan mencalarkan imejnya dengan isu rasuah, namun beliau bagaimanapun tetap perlu meneruskan usaha demi kebajikan rakyat di negeri itu.
Segala usaha tersebut bukan hanya kerana Sabah akan berdepan dengan PRN tidak lama lagi, namun ia sememangnya merupakan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan isu-isu rakyat terus terbela di samping meneruskan projek-projek yang sudah dirancang agar dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Melihat kepada perkembangan kemajuan yang telah dibuat sehingga hari ini, Hajiji berusaha dalam membina baik hubungan dengan kerajaan pusat bagi mengukuhkan lagi tuntutan berkaitan hak-hak kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Di bawah kepimpinannya juga, pelbagai inisiatif strategik telah dirangka bagi memperkukuh ekonomi negeri itu, mengurangkan kemiskinan tegar secara signifikan serta membuka peluang pekerjaan dengan lebih banyak.
Keberhasilan usaha-usaha tersebut dapat dilihat dalam peningkatan taraf hidup rakyat dan kestabilan politik negeri, sekali gus usaha tersebut perlu diteruskan pada penggal berikutnya agar segala perancangan tidak akan terencat.
Dalam hal ini, rakyat benar-benar perlu bijak membuat percaturan dalam memilih kepimpinan pada penggal berikutnya dengan tidak bersandarkan kepada ‘senjata’ pihak berkepentingan iaitu isu rasuah dan penyelewengan dana yang disebarkan pada ketika ini.
Namun pada masa yang sama, pemimpin yang bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga bersih dan tidak terpalit dengan skandal integriti juga aspek utama yang perlu menjadikan fokus supaya Sabah terus kekal membangun dengan lebih baik.-UTUSAN