Jalan Serkam-Bemban tambah nilai ekonomi setempat

Jalan Serkam-Bemban tambah nilai ekonomi setempat

AB. RAUF Yusoh (tiga dari kiri) menyantuni pengguna Jalan Serkam-Bemban di Jasin, Melaka sejurus laluan itu dibuka secara rasmi hari ini-UTUSAN/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Pembukaan jalan baharu Serkam-Bemban sepanjang tiga kilometer bakal menjadi laluan alternatif kepada pelancong dari selatan yang memasuki Melaka melalui Tol Jasin.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, projek laluan dua lorong itu yang menelan kos sebanyak RM20.2 juta mula dibina pada 15 November 2022 dan siap pada 25 April lalu.

Beliau berkata, laluan tersebut yang menghubungkan simpang Jalan Serkam–Bemban ke simpang Jalan Kandang akan memendekkan masa perjalanan sehingga lima minit terutama dari Ayer Molek ke Tol Jasin.

“Jalan ini juga akan menjadi laluan alternatif strategik bagi pelancong dari selatan yang memasuki Melaka melalui Tol Jasin untuk ke destinasi pelancongan utama. Laluan ini bakal memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat.

“Saya yakin laluan ini akan memberi impak positif kepada rakyat dari segi akses, pergerakan ekonomi dan juga mempertingkatkan kesejahteraan hidup,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jalan Baharu Serkam-Bemban di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, projek laluan baharu itu selaras dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035). 

Menurutnya, tumpuan bukan sahaja diberikan terhadap kepesatan pembangunan fizikal tetapi turut merangkumi pertumbuhan ekonomi dan sosial yang seimbang.

“Hasil rundingan dan permohonan daripada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan telah meluluskan sembilan projek baharu dan menaik taraf jalan yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. 

“Antaranya naik taraf Jalan Tun Hamzah dari Persimpangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke Semabok yang bernilai RM300 juta dan dijangka bermula Disember tahun ini.

“Projek lain adalah jalan baharu dari Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah membabitkan peruntukkan RM125 juta dan jalan baharu dari persimpangan Rim ke Kampung Ulu Jasin dengan kos RM35.2 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN