KUALA LUMPUR: Sesi sidang Dewan Rakyat pagi ini kecoh selepas seorang Ahli Parlimen pembangkang mempertikai jumlah kutipan sampah dalam penganjuran Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar ibu negara baru-baru ini.
Ia bermula apabila Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mempertikai kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan mendakwa ia sebagai tidak masuk akal dengan menjadikan berat botol mineral dan kehadiran peserta perhimpunan sebagai perbandingan.
“Kalau seorang bawa satu botol (kosong) satu gram, ini bermakna jumlah peserta yang datang ialah 400,000 orang. Polis kata 18,000 peserta datang. Tetapi menteri kata 20 tan.
“Yang mana satu betul? menteri kalau bercakap ia kenyataan rasmi kerajaan. Begitu juga dengan kenyataan polis Kuala Lumpur,” katanya.
Awang berkata, sekiranya jumlah kutipan tersebut benar, ia jelas menunjukkan kelemahan kerajaan dalam pengurusan sistem kebersihan di tempat awam
“Adakah ini bermaksud kerajaan gagal menyediakan plan pengurusan sisa yang bersesuaian untuk acara besar ini (perhimpunan)?,”katanya dalam sesi jawab lisan Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Kor Ming lantas menyanggah dakwaan tersebut dengan mengatakan bahawa jumlah 20 tan itu diperoleh berdasarkan data SWcorp.
Namun, beliau pada masa yang sama turut mengucapkan penghargaan kepada petugas Unit Amal Pas yang turut bersama-sama mengutip sampah.
“Saya ucapkan terima kasih sebab bantu kutip sampah.Tapi tidak boleh dinafikan juga jumlah 20 tan bersepah di Sogo, Dataran Merdeka dan Jalan Petaling. Itu laporan SWcorp,” jelasnya.
Awang tiba-tiba bangun mecelah dan mendakwa ia sebagai tidak benar dan hanya pembohongan semata-mata.
“Itu tidak betul, kita check semua kawasan. Itu jawapan bohong, menipu, “jelasnya. – UTUSAN










