PUTRAJAYA: Isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa lantikan lain dijangka dapat dimuktamadkan dalam minggu ini.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan ia antara perkara yang dikongsi Perdana Menteri dalam pertemuan itu.
“Cuma isu ini Perdana Menteri kata akan selesai dalam masa terdekat ini. Sebab (saya difahamkan) Majlis Raja-Raja pun akan bersidang esok atau lusa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, soal berkaitan dengan pelantikan hakim ini kena melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di mana ia akan bersidang sebelum mengangkat nama kepada Perdana Menteri.
Jelasnya lagi, nama itu kemudian akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong yang kemudian akan dibincangkan dengan Majlis Raja-Raja.
Dalam pada itu, Mohd Sany berkata, isu lain dibincangkan termasuk tarif baharu Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan pelaksanaan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun isu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak dibincangkan. – UTUSAN