SEPANG: “Saya tidak akan menuntut kepada jemaah untuk membayar semula tambang tiket tersebut,” kata Pengarah Urusan Firabib Group Sdn Bhd, Mohd Firdaus bin Mat Akhir atau lebih dikenali Ustaz Firdaus Firabib.
Itu jaminan diberikan Ustaz Firdaus Firabib kepada 39 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini.
Menurutnya, bantuan yang diberikan itu adalah atas dasar kemanusian semata-mata.
“Alhamdulillah, syukur kerana semua jemaah terkandas telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan selamat.
“Saya tidak dapat berada di KLIA bagi menyambut jemaah kerana ada mesyuarat dengan sebuah stesen radio di Kuala Lumpur.
“Terima kasih diatas semua yang ingin berkongsi dan menyumbang tapi saya hanya mendahulukan duit saya,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Beliau yang juga Pengurus Cawangan Utara Hyad Travel Malaysia berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan beberapa pihak yang telah menyumbang bagi membawa pulang jemaah terkandas itu.
Jelasnya lagi, ada dua individu yang telah menyumbang bagi membawa pulang jemaah terkandas itu masing-masing dengan sumbangan RM15,000 dan RM5,000.
Sebelum ini, Ustaz Firdaus menerusi kenyataan memaklumkan, beliau sendiri telah membayar sebanyak RM71,370 bagi menanggung kos penerbangan pulang jemaah itu.
Katanya, beliau juga ingin menjelaskan bahawa beliau tidak ada kaitan dengan syarikat yang gagal membawa pulang jemaah tersebut dan tidak ada membuat sebarang perjanjian bayaran balik.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, seramai 43 jemaah umrah terkandas di Jeddah, Arab Saudi, selepas agensi pelancongan dikatakan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia kepada semua jemaah terbabit.
Mutawif Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi atau dikenali PU Abu dilaporkan berkata, jemaah berusia antara 20 hingga 60 tahun terpaksa bermalam di sebuah apartmen berhampiran selepas tidak dapat menaiki penerbangan seperti dijadualkan. – UTUSAN