Isu hakim: 9 Ahli Parlimen PKR desak tubuh RCI

Isu hakim: 9 Ahli Parlimen PKR desak tubuh RCI

MOHD. Rafizi Ramli (tengah) bersama enam lagi ahli Parlimen PKR dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Selangor semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sembilan Ahli Parlimen PKR yang diketuai Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan yang berlegar berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Mohd. Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi) juga dipohon melaksanakan prosiding dan siasatan termasuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan.

Katanya, ia bagi memastikan kebebasan institusi kehakiman dan pengasingan kuasa di antara tiga cabang kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman dipertahankan.

Beliau berkata, Parlimen sebagai cabang perundangan yang bebas perlu memainkan peranan utama dalam melindungi kebebasan institusi kehakiman.

“Kami akan menulis secara rasmi kepada Pengerusi JKPK Parlimen, William Leong dan setiap anggota JKPK,” katanya dalam sidang akhbar khas di Pusat Khidmat Parlimen Subang di sini, semalam.

Sidang akhbar turut disertai Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi pemimpin PKR yang tidak hadir, namun menyokong pendirian itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.

Selepas enam tahun mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara rasmi menamatkan perkhidmatannya, Rabu lalu.

Susulan itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menjalankan kuasa dan melaksanakan tugas Ketua Hakim Negara berkuat kuasa minggu lalu. Selain tugas itu, dalam masa sama beliau juga diberi tanggungjawab menjalankan tugas Pre­siden Mahkamah Rayuan.

Ditanya sama ada wujud campur tangan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim, Mohd. Rafizi enggan mengulas lanjut.

“Saya sendiri ingin tahu, seperti anda semua apa sebenarnya yang berlaku. Namun, saya tidak berada dalam kedudukan untuk mendapatkan maklumat tersebut.

“Saya bukan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perkara ini tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet. Jadi, kalau ditanya kepada ahli Kabinet, mereka juga tidak tahu.

“Sebab itu, saya katakan jalan terbaik untuk mengetahui sama ada wujud campur tangan atau tidak, adalah melalui satu proses yang telus dan terbuka agar dapat menjernihkan keadaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN