Isteri Along Cham nafi curang - Utusan Malaysia

Isteri Along Cham nafi curang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Isteri kepada pelakon dan pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi menafikan dakwaan kononnya dia berlaku curang sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.

Afreena, ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang di sini hari ini, berkata, dia langsung tidak mengetahui mengenai tuduhan tersebut sehingga ia dinyatakan sendiri oleh suaminya kepada pihak media.

“Saya tidak tahu bagaimana isu ini boleh timbul. Saya menafikan sekeras-kerasnya kerana saya tidak pernah berlaku curang terhadapnya. Itu semua hanya tuduhan semata-mata,” katanya.

Tambah Afreena, definisi ‘curang’ yang dikemukakan oleh suaminya juga disifatkan mengelirukan dan tidak selari dengan pemahaman umum.

“Dia menyatakan di hadapan hakim bahawa curang itu bermaksud menipu, tetapi bagi saya, curang membawa maksud menjalinkan hubungan sulit dengan orang lain.

“Kami sendiri keliru dengan maksud sebenar yang cuba disampaikan. Saya terlalu sibuk dengan kerja dan karier. Saya tiada masa untuk buat perkara seperti itu,” jelasnya.

Mengulas dakwaan bahawa dia mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak, Afreena menegaskan perkara itu tidak relevan dengan kes perceraian mereka.

“Saya hanya mampu beristighfar. Orang yang mengenali, tahu saya menjaga anak-anak dengan baik.

“Sebagai seorang ibu, tidak mungkin saya mengabaikan mereka. Emak mana yang sanggup buang anak?” ujarnya.

Terdahulu, Afreena turut mendedahkan bahawa rumah tangga mereka telah dilanda masalah sejak awal perkahwinan iaitu dua bulan selepas disatukan.

Sebelum ini, dia mendakwa telah berlaku lafaz cerai di luar mahkamah pada Julai tahun lalu.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu.

Perkahwinan ini merupakan yang kedua buat Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, selepas bercerai dengan bekas isteri, Zila Saeron pada September 2016.

Hasil perkahwinan terdahulu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini berada dalam jagaannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN