PETALING JAYA: Selepas filem Khong Khaek meraih kejayaan luar biasa, syarikat produksi Thailand, Monwichit Entertainment kini muncul dengan naskhah layar perak terbaharu, Isan Nikah.
Menurut Kriangkrai Monwichit selaku pengarah, filem terbaharunya itu memaparkan sebuah jalan cerita yang cukup menarik dengan mengetengahkan genre Islamik komedi yang memaparkan mengenai perkahwinan campur.
“Isan Nikah adalah sebuah filem yang sangat menarik untuk ditonton apabila menampilkan kisah perkahwinan membabitkan perbezaan agama serta budaya, lalu diolah untuk menjadi sebuah kisah komedi yang lucu dan mencuit hati.
“Selain itu, saya turut mengetengahkan kehidupan di kampung halaman sendiri yang mencerminkan budaya masyarakat tempatan di selatan Thailand, termasuk sejarah, tempat pelancongan, makanan dan bahasa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Empire Film Solution, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, pihaknya berminat membawakan filem tersebut untuk ditayangkan di negara ini kerana tertarik dengan naskhah dan jalan ceritanya.
“Selama ini penonton di Malaysia sudah selalu disajikan dengan dengan filem-filem bergenre seram dari Thailand dan sudah tiba masanya untuk filem bercorak komedi dan Islamik menjadi tontonan.
“Namun, Isan Nikah ini kami lihat ia sebuah filem yang menarik untuk ditonton. Selain sarat dengan komedi yang menghiburkan, filem itu mengetengahkan tentang budaya dan kehidupan masyarakat muslim di selatan Thailand yang jarang dipaparkan dalam sesebuah naskhah,” ujarnya.
Bagaimanapun, pihak Empire Film Solution dan Kriangkrai Monwichit berharap filem ini mendapat sambutan hangat di Malaysia mengangkat pasaran karya layar perak dari Thailand ke persada perfileman tanah air.
Isan Nikah berkisarkan tentang cabaran seorang gadis muslim dihalang oleh abangnya untuk berkahwin dengan lelaki mualaf yang beragama Buddha.
Filem yang menampilkan barisan pelakon popular Thailand seperti Nattawut Sanyabut, Chatchai Chinnasri, Kamonporn Sangwatcharasoontorn, Adull Borsu dan influencer popular iaitu Amadkuciasree Doloh @ Chalee itu akan ditayangkan di pawagam mulai 17 Julai 2025.-UTUSAN