PETALING JAYA: Integriti merupakan asas utama yang perlu dimiliki setiap hakim kerana keputusan mereka mampu menentukan kebebasan atau hidup mati seseorang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seorang hakim yang berintegriti akan membuat keputusan berlandaskan undang-undang dan prinsip keadilan tanpa dipengaruhi rasa takut mahupun pilih kasih.
Beliau berkata, Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 menetapkan bahawa integriti, kompetensi dan pengalaman adalah kriteria utama dalam proses pelantikan hakim.
Justeru, katanya, anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) perlu memberi tumpuan serius terhadap aspek tersebut semasa menilai kelayakan calon.
“Keadilan hanya akan dapat ditegakkan apabila mahkamah kekal bebas dan hakimnya mempunyai integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas isu pelantikan seorang hakim mahkamah atasan yang kini menjadi perdebatan umum susulan kebocoran minit mesyuarat JAC bertarikh 16 Mei 2025, Muhyiddin menyifatkan dakwaan yang dikemukakan sebagai amat serius dan perlu disiasat secara menyeluruh.
Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Hakim Negara telah membangkitkan isu integriti seorang hakim semasa mesyuarat JAC, merujuk kepada insiden sewaktu beliau memegang jawatan Peguam Negara.
Antara dakwaan yang didedahkan termasuk cubaan hakim berkenaan mempengaruhi keputusan kes agar memihak kepada pihak tertentu serta memindahkan seorang hakim lain yang tidak sehaluan dengan pendapat Peguam Negara.
“Ini merupakan dakwaan salah guna kuasa dan campur tangan serius dalam institusi kehakiman.
“Sekiranya benar, ia bukan sahaja menjejaskan peluang seseorang mendapat keadilan, malah mencemarkan kedudukan badan kehakiman sebagai benteng terakhir rakyat,” ujarnya.
Muhyiddin turut membangkitkan kebimbangan berhubung kemungkinan wujud campur tangan badan eksekutif dalam urusan pelantikan hakim-hakim.
Beliau mendakwa terdapat kebimbangan munasabah bahawa Perdana Menteri tidak mengutamakan integriti dalam pelantikan hakim, sebaliknya mungkin membuat keputusan berdasarkan kepentingan peribadi terutama dalam kes yang melibatkan dirinya.
“Apatah lagi jika hakim yang dikaitkan dengan masalah integriti itu dilantik ke jawatan lebih tinggi dalam institusi kehakiman.
“Saya bimbang sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas utama, keadilan boleh dijual beli,” katanya. – UTUSAN










