SEPANG: “Ini adalah perjalanan umrah saya yang pertama dan tidak menjangka berdepan masalah ini,” kata seorang peniaga, Nazira Frijand Ali, 48.
Nazira dan suaminya, Mohd Amrul Abd Rahman, 49, dari Kulai, Johor adalah antara 39 jemaah Malaysia yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini.
Kesemua mereka bagaimanapun selamat tiba di tanah air pagi tadi dengan kos penerbangan pulang ditanggung sepenuhnya, Mohd Firdaus Mat Akhir yang juga dikenali Ustaz Firdaus Firabib.
Nazira ketika ditemukan berkata, beliau dan suami akan membuat laporan polis terhadap ejen pelancongan berkenaan supaya kes itu disiasat dan diadili sebaik mungkin.
“Kami rasa perlu (laporan polis) kerana jika kami tak buat isu ini akan terus berulang pada masa depan,” katanya.
Katanya, dia dan suami mengambil pakej berharga RM12,000 namun, perkhidmatan diberikan tidak setimpal seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Nazira berkata, masalah bermula apabila dia dan suami tidak diberikan pakej menaiki tren laju sebaliknya dikehendaki menaiki bas bersama jemaah lain.
“Ketika itu saya dan suami sudah rasa ada perkara tidak kena namun, kami abaikan kerana seronok diuruskan oleh mutawif (PU Abu) serta ingin bersama jemaah lain.
“Selepas itu, kami dimaklumkan tiket penerbangan pulang tidak ada dan syarikat mahu kami membayar RM2,300 bagi menampung tambang itu.
“Walaupun saya dan suami boleh beli tiket balik sendiri tapi kami tetap tunggu bersama jemaah lain dan mahu menghadapi masalah ini bersama-sama,” katanya.
Katanya, dia dan jemaah lain bersyukur kerana PU Abu amat tenang dalam menghadapi masalah itu, malah beliau seorang yang tidak cepat gelabah dan sentiasa menenangkan jemaah.
Jelasnya lagi, kedutaan Malaysia di Arab Saudi juga banyak membantu malah, dia dan jemaah lain dijaga dengan baik tanpa rasa macam hidup merempat,” – UTUSAN.