Industri seni kita memang sedang sangat tenat - Utusan Malaysia

Industri seni kita memang sedang sangat tenat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Issac, menyuarakan hasrat membantu mencari jalan penyelesaian bagi masalah bayaran ‘ciput’ atau bayaran tidak setimpal yang diterima oleh anak seni baru-baru ini, ramai kalangan pekerja belakang tabir termasuk artis berbicara mengenainya. 

Bagaimanapun, ada kalangan mereka menganggap masalah yang sepatutnya ditangani terlebih dahulu adalah bagaimana sepatutnya bayaran on time atau tepat pada masanya mengikut kontrak oleh produksi kepada pelakon dan pekerja belakang tabir. 

Sudah tentu, soal bayaran ciput juga menjadi satu daripada masalah besar yang membelenggu pekerja dan pengkarya industri seni tanah air sejak sekian lama yang harus diambil kira. 

Tetapi, soal ketepatan waktu untuk pembayaran gaji pekerja seni juga tidak wajar dipandang lekeh. Umpamanya, sudahlah dibayar tidak setimpal, ciput, gaji pula tidak dibayar on time. 

Adakala, ia mampu bertukar menjadi hutang lapuk gara-gara produksi bersikap sambil lewa dan sering memberi banyak alasan yang kemudiannya meninggalkan amarah dan ‘barah’ kepada semua pihak yang berasa ditindas. 

Cuba menggali pandangan daripada pelakon berpengalaman seperti Diana Danielle mengenai isu ini, Pancaindera kongsikan luahan anak seni sepertinya untuk tatapan pembaca.

Baru-baru ini, Pengerusi FINAS, Hans, ada suarakan tentang usaha mahu banteras isu bayaran ‘ciput’ kepada pekerja seni. Tetapi ramai kata soal bayaran on time wajar didahulukan. Apa pandangan Diana sebagai pelakon? 

Saya rasa kita kena tengok juga akar umbi isi ini. Stesen TV kini berdepan pelbagai kekangan yang memberi kesan langsung kepada industri penerbitan tempatan. Antaranya adalah ketidakupayaan stesen TV untuk memberikan peluang kepada penerbit dan kelewatan dalam membayar hasil kerja mereka. Akibatnya, ada kalanya sesebuah produksi terpaksa dihentikan kerana stesen TV tidak dapat membuat bayaran tepat pada masanya.

Apa penyebab utama stesen TV berdepan masalah ini? 

Saya sendiri tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh stesen TV. Mungkin mereka juga bergelut dengan isu-isu dalaman. Namun, apa yang pasti, semua ini memberi kesan langsung kepada penerbitan dan seluruh ekosistem industri. Masalah ini bukan sahaja berlaku di satu pihak atau satu tempat. Ia seperti berpunca daripada pelbagai arah yang saya sendiri tidak faham. Bila penerbit tidak menerima bayaran, bagaimana pula mereka hendak membayar kru dan tenaga kerja yang terlibat? Sedangkan mereka perlu terus bergerak. Ada yang menghasilkan dua atau tiga projek dalam setahun tetapi projek sebelum ini pun masih belum menerima bayaran.

Jadi, soal bayaran ini kita boleh katakan yang pihak stesen TV mungkin jadi punca pekerja belakang tabir termasuk artis lewat terima bayaran? 

Saya tidak menyalahkan stesen TV sepenuhnya kerana ini adalah kesan rantaian daripada kelemahan sistem penerbitan itu sendiri. Kadang-kadang, pelakon juga tidak menerima bayaran tepat pada masa. Akhirnya, produser dipersalahkan. Produser pula menyalahkan stesen TV. Stesen menyalahkan pihak lain. Masalah ini terus berlarutan. Tetapi yang jelas, industri kita memang sedang tenat. Tidak ada sistem atau rangka kerja yang kukuh. Kita juga tiada perlindungan dari segi hak asasi pekerja industri kreatif, termasuk hak bayaran dan kebajikan yang sepatutnya dijamin. Saya tidak fikir industri ini boleh berkembang tanpa sistem penerbitan yang kukuh dan telus.

 Bermakna penerbit atau produser harus bertegas dalam aspek bayaran ini, betul?

Saya tidak menyalahkan produser, walaupun  kadang-kadang bayaran yang diterima amat sedikit, kalau tidak silap sejak 1999 pun sudah begini. Persoalannya, adakah bayaran dalam masa itu benar benar berlaku secara konsisten? Secara peribadi, saya tidak selalu berlakon drama. Namun dalam produksi filem, bayaran biasanya dibuat tepat pada waktunya kerana mereka mempunyai dana lebih awal. Mereka tahu bagaimana untuk menguruskan dana dan memisahkan bajet dengan baik. Saya pula berada di bawah pengurusan yang besar. Jadi, sekiranya berlaku kelewatan atau masalah, pihak pengurusan akan mendahulukan bayaran. Sebab itu, saya rasa bertuah kerana dapat bekerja dengan produksi yang bukan sahaja bertanggungjawab, malah cekap menguruskan kewangan.

Jika isu ini berlarutan, adakah Diana yang sebelum ini menyimpan harapan untuk mempunyai produksi sendiri, mahu lupakan hasrat itu? 

Saya akui sebelum ini pernah terdetik untuk membuka produksi sendiri. Tetapi apabila mendengar cerita-cerita tentang kesukaran dihadapi oleh penerbit dan produser lain, hasrat itu terbantut. Realitinya, memang sangat sukar mendapatkan dana. Dan lebih sukar lagi untuk menerima bayaran. Selalu berlaku situasi di mana kita terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk sesuatu projek, dan selepas setahun pun, kita masih belum menerima pulangan modal. Bayangkan jika kita menguruskan perniagaan, selepas setahun mengeluarkan modal, tetapi langsung tidak mendapat pulangan. Bagaimana mahu terus bergerak? Jadi, mungkin saya akan f ikirkan semula mengenai impian saya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN