KUALA LUMPUR: International Healthcare Week (IHW) 2025 menjadi medan strategik merancakkan kerjasama serantau dalam sektor penjagaan kesihatan dan ekonomi digital ASEAN dengan menghimpunkan lebih 900 pempamer tempatan dan antarabangsa.
Acara anjuran Informa Markets itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 Julai di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dijangka menarik kehadiran sekitar 21,000 pengunjung profesional daripada lebih 50 negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, penganjuran itu disifatkan sebagai satu penanda aras penting mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin kukuh dalam landskap penjagaan kesihatan global.
Katanya, ia sekali gus memperlihatkan aspirasi negara untuk menjadikan ASEAN sebagai rakan dagang bertaraf dunia.
“IHW 2025 turut memberi isyarat jelas bahawa Malaysia bersedia untuk menerajui kerjasama serantau dan global dalam usaha membina sistem kesihatan yang lebih mampan dan berdaya tahan bagi masa depan.
“Acara ini juga bukan sekadar sebuah acara, namun merupakan deklarasi bahawa Malaysia komited memimpin, bekerjasama dan menyumbang kepada masa depan penjagaan kesihatan yang lebih inklusif, bukan hanya untuk rakyat Malaysia tetapi untuk komuniti global,” katanya dalam ucaptama pelancaran IHW 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Informa Markets di Asia, Margaret Ma Connolly berkata, IHW 2025 mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lima jenama pameran perdagangan utama dalam sektor kesihatan di bawah satu bumbung, sekali gus menawarkan rantaian nilai penjagaan kesihatan komprehensif dan bersepadu sepenuhnya.
“Lima pameran perdagangan utama industri penjagaan kesihatan dalam satu lokasi, melibatkan keseluruhan rantaian nilai sektor adalah CPHI Asia Tenggara, WHX Kuala Lumpur, WHX Labs Kuala Lumpur, Medtec Asia Tenggara dan HIMSS ASEAN.
“Buat julung kalinya juga, acara Medtec Asia Tenggara diperkenalkan, mengetengahkan reka bentuk serta pembuatan peranti dan teknologi perubatan iaitu satu segmen yang mempunyai kelebihan daya saing tersendiri di Malaysia.
“Dengan mengintegrasikan kelima-lima acara teras ini, IHW 2025 tampil sebagai ekosistem penjagaan kesihatan menyeluruh yang merentasi pelbagai disiplin.
“Ini sekali gus menggalakkan kerjasama rentas sempadan yang amat diperlukan dalam menangani cabaran kompleks masa kini dan meneroka peluang masa hadapan,” katanya.
Format penganjuran bersepadu itu menawarkan lebih 125 sesi persidangan yang padat dengan perkongsian ilmu, perbincangan diketuai pakar industri serta peluang pembelajaran bersasar merentas keseluruhan rantaian nilai sektor penjagaan kesihatan.
Tambahnya, penganjuran edisi pertama IHW 2025 di Malaysia selari dengan pengiktirafan negara ini sebagai hab penjagaan kesihatan premium di Asia Tenggara.
IHW 2025 turut menghimpunkan kesemua pameran itu meliputi kawasan seluas 26,000 meter persegi dan menyasarkan lebih 15,000 produk serta penyelesaian penjagaan kesihatan termaju, sekali gus menjadikan acara ini yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.
Acara ini juga menganjurkan lebih 125 sesi persidangan dan forum membincangkan hala tuju serta pertumbuhan industri kesihatan, merangkumi topik seperti kecerdasan buatan (AI), kesihatan digital, pemodenan sistem penjagaan dan strategi pelaburan. – UTUSAN