KUALA LUMPUR: Ibu pelakon Mikael Noah, Salzelin tampil mendedahkan ancaman pengantunan seksual (sexual grooming) yang diterima pelakon cilik tersebut daripada seorang penyanyi tradisional tempatan.
SalzeLin yang berkongsi bukti WhatsApp antara lelaki tersebut dan anaknya kepada aktivis kemanusiaan Caprice memaklumkan terkejut apabila membaca perbualan berkenaan yang tidak ubah seperti pasangan kekasih.
“Mikael ini berlakon. Lelaki itu hubungi saya tawarkan kerja untuk Mikael berlakon dalam teater dia, since lelaki itu penyanyi tradisional merangkap polis.
“Lepas bincang, saya setuju. Lepas Mikael berlakon teater itu, lelaki itu dan isteri dia jumpa saya, dia cakap dia tak ada anak lelaki, hanya ada anak angkat perempuan seorang.
“Jadi, dia sayang Mikael dan nak jadikan Mikael anak angkat dia juga. Dia kata isterinya gugur, jadi saya kesian, saya cakap buat sahajalah macam anak sendiri. Dia ada bawa Mikael keluar beberapa kali, belikan Mikael macam-macam, benda mahal juga.
“Lama kelamaan nampak Mikael ini semakin tak hormat mak ayah dia, asyik melekat dekat telefon dan WhatsApp. Masa itu la saya terdetik semak WhatsApp Mikael dengan lelaki tu, terkejut baca,” katanya.
Penyanyi berkenaan, menerusi bukti perbualan WhatsApp yang didedahkan, dikenal pasti melakukan beberapa tindakan berunsurkan seksual terhadap Mikael termasuk mencium hujung bibir, mulut, dahi, kepala dan mata pelakon cilik tersebut.
Pada masa yang sama, individu tersebut juga turut berkongsi sticker tidak senonoh yang memperlihatkan lelaki menggigit punggung lelaki lain menerusi perbualan di platform yang sama. – UTUSAN