Hun Haqeem ajak lelaki buat ujian kesuburan, periksa kualiti sperma - Utusan Malaysia

Hun Haqeem ajak lelaki buat ujian kesuburan, periksa kualiti sperma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hun Haqeem, berhasrat mengubah persepsi masyarakat yang beranggapan ujian kesuburan hanya perlu dilakukan oleh kaum wanita. 

Menurut Hun atau Haqeem bin Hermy, 27, walaupun jarang dibincangkan secara terbuka namun kaum lelaki berisiko berhadapan dengan masalah infertiliti terutama mereka yang menjalani gaya hidup tidak sihat. 

“Menerusi drama Mandul Bukan Pilihan, saya mahu pecahkan stereotaip di mana lelaki di luar sana pun perlu menjalani ujian kesuburan. Ini kerana tidak semua orang menjalani gaya hidup sihat terutama perokok tegar. Perkara ini boleh mempengaruhi kualiti sperma. 

“Selama ini kita minta para wanita yang jalani ujian kesuburan. Lelaki pun perlu lakukan juga supaya adil. Memang betul peratusan menunjukkan wanita lebih banyak hadapi isu ini namun kita tidak tahu dugaan yang Allah beri bagaimana kepada setiap orang.

“Perkara ini penting supaya jika ada masalah, kita boleh bincangkan dengan jalan terbaik. Komunikasi penting dalam perkahwinan,” katanya yang akan melakukan ujian kesuburan sebelum berkahwin. 

Hun ditemui di majlis sidang media Mandul Bukan Pilihan, di sini, baru-baru ini. 

Dalam pada itu, jelas Hun, drama yang mendapat kolaborasi dengan penulis skrip Indonesia ini bukan sahaja membuka ruang perbincangan tentang isu kesuburan. Malah menunjukkan kepada masyarakat pentingnya mempunyai sistem sokongan yang kuat.

“Apa yang saya boleh dapat daripada cerita ini ialah nilai kekeluargaan dan persahabatan. Pasangan muda selalunya memilih mengasingkan diri dan mahu lakukan perkara yang sesuai dengan keinginan mereka sahaja. Kita buang sistem sokongan, hanya bila susah baru cari mereka. 

“Jadi perkara ini yang turut kita bawakan dalam drama ini,” jelasnya.

Mandul Bukan Pilihan, arahan Osman Ali, sudah mula bersiaran pada  14 Julai, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria.

Turut sama menjayakan drama itu ialah Ayda Jebat, Mira Filzah dan Ashraf Muslim. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN