Hukuman lebih tegas terhadap pemilik ternakan berkeliaran

Hukuman lebih tegas terhadap pemilik ternakan berkeliaran

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hukuman denda RM2,000 tidak lagi setimpal terhadap pemilik haiwan ternakan yang menyebabkan kemalangan, justeru Enakmen Haiwan Berkeliaran Negeri Melaka yang memperuntukkan hukuman lebih tegas dan menyeluruh perlu digubal.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia adalah untuk meningkatkan kadar hukuman sedia ada agar setimpal dengan kesalahan dan impak yang ditimbulkan.

Beliau berkata, enakmen itu juga akan memberi kuasa lebih luas kepada agensi penguatkuasaan untuk menyita, mendenda dan mengambil tindakan terhadap pemilik haiwan.

“Kita mahu memastikan akauntabiliti penuh setiap pemilik ternakan terhadap haiwan mereka melalui pengesanan, pelesenan dan kawalan. Enakmen ini akan menjadi alat pencegahan yang berkesan dan memberi mesej jelas kepada semua penternak.

“Pada persidangan akan datang kita akan membuat satu usul untuk menggubal Enakmen Haiwan Berkeliaran Negeri Melaka. Hukuman denda RM2,000 ketika ini tidak setimpal terhadap pemilik haiwan yang menyebabkan kemalangan,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Muhamad Akmal berkata, bermula Ogos ini, kerajaan negeri akan mewajibkan pemasangan tanda pengenalan fizikal pada telinga lembu dan kerbau.

Katanya, ternakan yang tidak mempunyai tanda akan dianggap sebagai haiwan terbiar yang berkeliaran.

“Jadi para penternak diberi masa antara tiga dan empat bulan untuk mendaftar ternakan mereka dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Mereka wajib daftar walaupun hanya membela seekor haiwan.

“Awal tahun depan kita akan menggantikan tag berdasarkan nombor siri dengan kod respons pantas (QR). Kod QR lebih mudah kerana mengintegrasikan data pemilik haiwan ternakan yang boleh diperolehi melalui imbasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN