KUALA LUMPUR: Peserta Himpunan Turun Anwar mula memenuhi kawasan sekitar Pasar Seni, Jalan Tun Tan Cheng Lock, hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa badan NGO, pempengaruh serta mahasiswa sedang menghimpunkan peserta lain di pekarangan kawasan tersebut serta mula menaikkan sepanduk bermesej menyeru semua rakyat agar hadir ke perhimpunan itu.
Turut kelihatan puluhan anggota polis sedang mengawal kawasan terbabit bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Dalam pada itu, setakat pukul 12.30 tengahari tadi, wakil NGO dan mahasiswa mula memberikan ucapan bagi menaikkan semangat para peserta sebelum memulakan perarakan ke lokasi utama, Dataran Merdeka.
Selain Pasar Seni, peserta turut berhimpun di empat lagi lokasi lain iaitu Masjid Negara, Kompleks Sogo, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek Kampung Baru. – UTUSAN










