Himpunan Turun Anwar isyarat jelas kegagalan kerajaan

Himpunan Turun Anwar isyarat jelas kegagalan kerajaan

N. BALASUBRAMANIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Himpunan Turun Anwar yang diadakan di ibu negara, Sabtu lalu bukanlah satu kebencian peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya merupakan isyarat jelas daripada rakyat terhadap kegagalan kepimpinan dalam pelbagai aspek.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat, N. Balasubramaniam berkata, dakwaan kononnya himpunan tersebut disemarakkan atas dasar kebencian merupakan retorik lama yang sering diguna pakai oleh pemerintah apabila tidak mampu menjawab hujah rakyat secara fakta.

“Himpunan Turun Anwar bukan medan menyemai kebencian, tetapi ruang demokrasi yang sah, tertib dan bertamadun. Ia lahir daripada tanggungjawab moral rakyat yang semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pendirian Perdana Menteri juga wajar dipersoalkan kerana beliau sendiri pernah menjuarai siri himpunan reformasi jalanan suatu ketika dahulu, namun kini tidak mampu menerima hakikat apabila rakyat menggunakan saluran yang sama untuk menyuarakan kekecewaan terhadap pentadbirannya.

“Dulu himpunan disanjung sebagai suara rakyat. Kini, apabila terkena batang hidung sendiri, himpunan dituduh pula menyemai kebencian. Ini satu pendirian yang sangat ironik,” katanya.

Menurut beliau, kehadiran ribuan anak muda, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan rakyat biasa di Dataran Merdeka membuktikan betapa besar gelombang kekecewaan yang sedang melanda rakyat.

“Rakyat tidak marah kerana benci Anwar secara peribadi. Mereka marah kerana sudah hilang harapan terhadap kepimpinan yang hanya pandai beretorik tetapi gagal membela nasib rakyat terbanyak.

“Maka, seruan ‘Turun Anwar’ bukanlah simbol kebencian tetapi suara rakyat yang mahu perubahan sebenar, bukan janji palsu dan sandiwara politik yang menipu harapan jutaan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN