Hentikan 'politik sate' untuk UMNO kembali kuat - Utusan Malaysia

Hentikan ‘politik sate’ untuk UMNO kembali kuat

ASYRAF Wajdi Dusuki disambut perwakilan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di Changkat Jering hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Budaya ‘politik sate’ yang mampu menyemai bibit-bibit perpecahan dan persengketaan dalam kalangan ahli perlu segera dihentikan demi memastikan UMNO kembali kukuh dan bersatu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, asas utama untuk UMNO kembali kuat dan mampu meraih kemenangan pada pilihan raya adalah kesatuan dalam parti.

Katanya, budaya mengapi-apikan dalam kalangan ahli dan pemimpin parti hingga mewujudkan kabilah hanya akan melemahkan UMNO.

“Politik sate adalah analogi yang tepat kerana ada tukang cucuk, tukang kipas, tukang bakar dan tukang balik ke sana dan ke sini. Kadang-kadang dia ke sana, kadang-kadang dia ke sini mengadu domba.

“Ini semua perlu dihentikan. Apa yang penting sekarang kita perlu kembali kepada landasan dan asas perjuangan sebenar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering, di sini hari ini.

Menurut beliau, UMNO ditubuhkan atas asas perjuangan untuk menjaga serta memelihara kepentingan agama, bangsa dan tanah air, justeru sebarang perkara yang mengganggu atau mengalihkan fokus utama perjuangan perlu dihentikan serta-merta.

“UMNO kalah sebab politik sate. Di mana-mana tempat di atasnya bergaduh. Bukan di sini tapi di Papua New Guinea. Ketua bahagian Papua New Guinea bergaduh dengan timbalan ketua bahagian.

“Sebab apa? Sebab ada tukang cucuk dan tukang kipas di bawah ini. Boleh bos, beres bos, betul bos, berkali-kali bos.

“Sebab itu, kalau mahu menang, buat cara orang mahu menang. Perubahan dari segi pendekatan perlu dibuat. Kita kena meraikan semua orang. Kena dekat dengan orang muda di mana sosial media memainkan peranan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×