KEMAMAN: Aktiviti mengangkat dan memaksa penyu bertelur atau lebih dikenali sebagai ‘penyu terbang’ perlu dihentikan kerana boleh menyebabkan sistem fisiologi badan haiwan itu terganggu.
Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, tindakan itu bukan perkara baharu, malah telah lama dikesan berlaku di sekitar Pantai Chendor dan Pantai Cherating, Pahang.
Katanya, aktiviti ‘penyu terbang’ yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab popular dalam kalangan penduduk sekitar Pantai Cherating dan Chendor, iaitu sejak 2005.
“Sebelum ini aktiviti penyu terbang iaitu mengangkat penyu tanpa kerelaan sukar dibuktikan. Apa yang kita nampak di pantai-pantai ini adalah kesan lubang-lubang yang digali oleh pencuri telur sebagai persediaan untuk angkat penyu dan diletakkan dalam lubang besar (yang telah digali) untuk mempercepat proses bertelur.
“Penyu itu memang bertelur kerana reptilia marin itu dihalang untuk kembali ke laut, namun sebenarnya ia berada dalam keadaan amat tertekan dan terseksa,” katanya semalam.
Mohd. Uzair berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan sistem fisiologi badan penyu terganggu atau lebih dikenali sebagai Dystocia.
“Apabila dipaksa bertelur, telur penyu itu tidak dapat keluar semua dan menyebabkan penyu berisiko mengalami komplikasi dalaman badan yang lain pula seterusnya ia akan mati,” katanya.
Menurutnya, individu yang melakukan kegiatan itu lazimnya dipercayai merupakan penagih dadah yang mencuri telur untuk dijual bagi mendapatkan wang.
“Golongan ini agak berbahaya jika ada orang awam menegur mereka kerana dikhuatiri agresif. Perkara ini terbukti menerusi rakaman video yang viral di laman sosial beberapa hari lalu,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri Pahang perlu mewartakan kawasan pendaratan penyu di beberapa pantai hingga ke utara sempadan negeri dan seterusnya memulakan inisiatif strategik merentas agensi termasuk penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperkasa usaha konservasi di kawasan terlibat.
“Kita perlu segera hentikan budaya buruk ‘penyu terbang’ ini kerana merencatkan pembinaan kembali jenama Cherating sebagai kawasan tumpuan pelancongan lestari selari dengan pembangunan semula Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating yang dijangka siap tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, tular dalam laman sosial dua video yang dirakam pelancong di Pantai Cherating yang memaparkan tiga individu mengangkat seekor penyu untuk memaksa haiwan itu bertelur.
Salah seorang suspek kemudiannya berjaya ditahan polis selepas beberapa jam laporan polis dibuat.-UTUSAN










