SEREMBAN: Seekor harimau kumbang jantan seberat 43 kilogram (kg) memasuki perangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di kawasan kebun durian, Kampung Baru Pertang di Jelebu, pagi tadi.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata. pihaknya menerima maklumat harimau kumbang memasuki perangkap pada pukul 9.30 pagi oleh seorang lelaki berusia 58 tahun.
Menurutnya, perangkap berkenaan telah dipasang pada 1 Julai lalu oleh sepasukan kakitangan dari Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM), Perhilitan Negeri Sembilan.
“Sebaik sampai ke lokasi kejadian didapati seekor harimau kumbang jantan telah berjaya memasuki perangkap.
“Pemeriksaan lanjut mendapati haiwan dilindungi berkenaan cedera serta terdapat kesan darah di bahagian ekor,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ujar Faizal Izham lagi, harimau kumbang itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, pihaknya akan memasang perangkap di lokasi tersebut kembali dalam masa terdekat kerana disyaki terdapat harimau kumbang yang lain di lokasi tersebut. – UTUSAN