PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh memuji tindakan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berani mengakui silap katanya dan memohon maaf.
Muhamad Akmal berkata, tidak mudah untuk berbuat seperti yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri itu.
“Terima kasih Datuk Seri Zahid Hamidi. Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan tetapi bukan mudah untuk mengakui kesilapan dan meminta maaf
“Hanya yang berjiwa besar sahaja mampu melakukannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid tampil memohon maaf susulan penularan sebuah video yang mengaitkan dirinya dengan kenyataan berunsur perumpamaan tentang malaikat.
Menurut Ahmad Zahid, kenyataan tersebut dilontarkan dalam suasana penuh emosi ketika beliau mengulas tekanan yang dihadapi sepanjang memegang amanah sebagai presiden.
“Hakikatnya, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin.
“Namun saya akui, perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir,” katanya. – UTUSAN