Guna MyKad bendung ketirisan subsidi rakyat

Guna MyKad bendung ketirisan subsidi rakyat

FUZIAH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan menegaskan langkah mewajibkan penggunaan MyKad bagi pembelian petrol bersubsidi RON95 merupakan pendekatan proaktif untuk memastikan bantuan itu benar-benar dinikmati rakyat, sekali gus membendung ketirisan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pemantauan rapi dilakukan terhadap sebarang kemungkinan penyalahgunaan, termasuk kes kenderaan berpendaftaran asing yang cuba membeli petrol bersubsidi dengan menggunakan MyKad.

“Contohnya, jika kenderaan pendaftaran asing menggunakan MyKad untuk membeli petrol bersubsidi, itu adalah salah guna. Begitu juga jika satu MyKad digunakan berulang kali secara luar biasa, ia akan dikesan oleh sistem.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita kena fikir bagaimana cara terbaik untuk mengatasi perkara ini. Sebab itu kita perlu sentiasa peka terhadap penggunaan luar kebiasaan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Operasi Kesan 4.0 (Op KESAN 4.0) KPDN Kedah di Mydin Mall, hari ini.

Tambahnya, keperluan menggunakan MyKad bukan sahaja memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia, malah ia membolehkan kerajaan menjejaki pembelian luar norma seperti jumlah isian yang melebihi had penggunaan bagi satu kenderaan.

“Jika seorang individu membeli petrol berulang kali dalam tempoh singkat pagi, petang, siang dan malam maka sistem akan memberi isyarat amaran. Dari situ kita boleh siasat lebih lanjut,” jelasnya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada rakyat, antaranya pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga petrol RON95 yang lebih rendah pada kadar RM1.99 seliter.

Sementara itu, Fuziah berkata, peperangan antara Thailand dan Kemboja setakat ini tidak memberi kesan terhadap peningkatan harga barangan terutama yang diimport.

“Kita tahu isu-isu global mungkin ada memberi kesan kepada harga barang. Oleh itu, penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDN sentiasa memantau setiap hari. Kita ada pangkalan data, graf dan kita boleh tengok trend. Kalau ada sesuatu yang tidak normal, kita akan dapat kesan dengan segera. Setakat ini tidak ada.

“Pemantauan itu berterusan setiap hari untuk melihat graf turun naik. Bukan setakat berperang sahaja tapi contohnya seperti harga telur yang subsidi akan ditarik kita pantau untuk pastikan tiada pihak ambil kesempatan dalam keadaan itu,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, sebanyak 950 premis telah diperiksa melibatkan 3,965 Unit Penyimpanan Stok (SKU) sepanjang pelaksanaan Op KESAN 4.0 bermula 1 Julai lalu hingga semalam susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Daripada jumlah itu, sebanyak 950 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta 723 selain KPDN menerima sebanyak 23 aduan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN