Guna bot nelayan seludup dadah RM900,000

Guna bot nelayan seludup dadah RM900,000

ROMLI Mustafa (tiga dari kiri) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang dirampas menerusi pemeriksaan sebuah bot kayu di kedudukan 0.3 batu nautika dari barat Pulau Ketam dalam sidang akhbar di Kuala Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Taktik sindiket yang berselindung menggunakan bot nelayan melakukan kegiatan pengedaran dadah berjaya dikesan pihak berkuasa.

Ia menerusi rampasan sebanyak 157 ketulan mampat dipercayai ganja dianggarkan bernilai RM900,000, di kedudukan 0.3 batu nautika dari barat Pulau Ketam di sini hari ini.

Rampasan itu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekitar pukul 3.30 pagi.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, rampasan dibuat hasil risikan dan intipan dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) selama beberapa hari.

Risikan dan intipan itu membawa kepada penemuan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran di perairan Kuala Perlis. 

Katanya, sebaik sahaja menyedari kehadiran bot Maritim tersebut, sampan kayu berkenaan didapati telah menukar haluan ke arah kawasan paya bakau dengan seorang suspek kemudian nekad terjun ke laut dan berenang ke kawasan paya bakau bagi melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot kayu ditinggalkan itu telah membawa kepada penemuan 157 ketulan mampat dipercayai ganja dengan anggaran nilai berjumlah RM900,000. 

“Semakan juga mendapati semua ganja yang dirampas itu dapat digunakan lebih 30,000 penagih. 

“Ini adalah rampasan dadah pertama dan terbesar bagi tahun 2025 oleh Maritim Malaysia malah siasatan juga mempercayai bahawa dalang sindiket ini terdiri daripada rakyat tempatan serta warga asing yang berada di Kedah dan Perlis,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN