Gulai ayam: Premis makanan sebabkan keracunan diarahkan tutup serta-merta - Utusan Malaysia

Gulai ayam: Premis makanan sebabkan keracunan diarahkan tutup serta-merta

Hilmi Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Premis pengendali makanan yang menyebabkan pelajar dan kakitangan di sebuah kolej di sini keracunan makanan sudah diarahkan menutup operasi serta-merta pada 9 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, arahan itu dibuat mengikut Seksyen 18(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Sebanyak 47 sampel telah diambil untuk tujuan analisis, termasuk 31 sampel klinikal pesakit, tujuh sampel makanan, empat sampel persekitaran, empat sampel pengendali makanan dan satu sampel air,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Hilmi memberitahu, setakat pukul 4 petang semalam, mangsa keracunan makanan meningkat kepada 427 orang setakat pukul 4 petang semalam berbanding 343 sebelumnya.

Katanya, pertambahan itu melibatkan 84 kes baharu yang dikesan dalam kalangan individu terlibat

“Daripada jumlah itu, 27 kes dirawat sebagai pesakit luar, manakala 57 lagi tidak mendapatkan rawatan.

“Tiga kes yang dimasukkan ke wad sebelum ini telah dibenarkan pulang. Kesemua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian dilaporkan. Kejadian ini juga kini berada dalam keadaan terkawal,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kira-kira 343 individu mengalami keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada gulai ayam.

Kesemua individu terlibat itu terdiri daripada penuntut baharu ahli jawatankuasa (AJK) dan kakitangan orientasi sebuah kolej di sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN