Gigih jalani latihan vokal, peminat minta Elite abaikan komen negatif - Utusan Malaysia

Gigih jalani latihan vokal, peminat minta Elite abaikan komen negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun berdepan dengan pelbagai kecaman, kumpulan Elite,tetap kuat semangat menjalani latihan vokal sebagai persediaan menjelang Konsert Elite Live’25, pada September ini.

Menerusi sebuah hantaran di Instagram, sebahagian anggota kumpulan itu iaitu Abby Abadi bersama Azza dan Watie Sadali dilihat tekun melakukan sesi latihan bersama jurulatih vokal, Shaffiq Erwin.

“Setelah 27 tahun, saya keluar dari Elite. Semalam (kelmarin) saya pergi kelas vokal untuk konsert Elite nanti.

“Bermula dari saja-saja suruh Azza call Datuk Norman Abdul Halim nak sertai konsert GenKRU, dengan niat mahu kembalikan ukhwah. Sampailah Iman Tang rancangkan untuk buat konsert.

“Tiba-tiba jumpa, bincang sekali, tiba-tiba buat sidang media. Masih dalam kejutan. Sampailah kami berusaha gigih sendiri masuk kelas vokal untuk kembai bernafas,” katanya.

Menerusi perkongsian tersebut, ketiga-tiga anggota kumpulan itu turut menyanyikan lagu hits mereka iaitu Trauma dan Tamparan Wanita disusuli dengan beberapa latihan teknik vokal.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji kesungguhan kumpulan itu memperbaiki nyanyian mereka biarpun sudah sekian lama tidak beraksi di pentas mega.

“Elite ini seronok lagu-lagu mereka. Boleh kenal suara mereka ini. Cukup rehat, latihan memang power konsert mereka,” kata seorang peminat.

“Bila nyanyi guna taktik yang betul keluar suara-suara asal Elite zaman muda-muda dulu,” kata seorang netizen.

“Harap Elite dapat berikan yang terbaik untuk peminat yang datang. Abaikan saja komen yang toksik itu,” kata seorang pengguna media sosial.

Sebelum ini, kumpulan itu meraih pelbagai kecaman dari warganet selepas membuat pengumuman untuk mengadakan konsert sempena 30 tahun penglibatan mereka dalam industri seni tanah air.

Rata-rata warganet mempertikaikan kemampuan vokal kumpulan yang terkenal menerusi lagu Tamparan Wanita itu untuk menyanyi di konsert berskala besar setelah sekian lama tidak beraksi.

Untuk info, Elite bakal mengadakan Konsert Elite Live’25 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 20 September ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN