KUALA LUMPUR: Geran sebanyak RM20,000 diberikan kepada setiap institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih bagi melaksanakan Program Citra Negaraku yang bertujuan memperkukuh nilai kenegaraan dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, mahasiswa bukan sahaja perlu terlibat sebagai penyelaras program malah berperanan sebagai penggerak dasar perpaduan negara di peringkat akar umbi.
“Melalui inisiatif seperti Program Citra Negaraku dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) di IPT, mahasiswa dilatih untuk memimpin gerakan perpaduan yang menyentuh realiti masyarakat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Citra Negaraku di sini hari ini.
Beliau berkata, mahasiswa masa kini memiliki keupayaan untuk mengangkat semangat kenegaraan melalui dialog, kolaborasi rentas kaum serta penglibatan aktif dalam isu-isu sosial.
“Komitmen ini perlu diteruskan supaya perpaduan bukan sekadar slogan tetapi menjadi budaya hidup yang terpahat dalam sanubari setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya, pihak kementerian berhasrat memperluas pelaksanaan program tersebut ke semua 193 buah SRN di seluruh negara menjelang tahun hadapan.
Enam IPT terpilih sebagai pelaksana awal program ialah UCSI College Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Perak; Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Johor; Universiti College TATI (UC TATI), Terengganu; Kolej Geomatika Keningau, Sabah; dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Sarawak.
Tambahnya, antara pengisian utama Program Citra Negaraku termasuk Bicara Perpaduan, Ekspresi Perpaduan, SRN Prihatin serta Jejak Rukun Negara yang menggabungkan pendekatan ilmu dan komuniti.
“Pihak kementerian menyasarkan penglibatan aktif mahasiswa dari pelbagai kaum agar program ini menjadi platform memperkasa semangat cintakan negara secara menyeluruh dan inklusif,” katanya. – UTUSAN










