PUTRAJAYA: Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia terus mendesak Kementerian Pengangkutan (MOT) khususnya menteri, Anthony Loke agar mengambil tindakan segera untuk menguatkuasakan kawalan harga lantai bagi tambang e-hailing.
Timbalan pengerusinya, Zailani Zainuddin berkata, setelah menyerahkan memorandum pada Disember tahun lalu, gerakan itu masih tidak menerima sebarang maklum balas positif daripada pihak kementerian.
“Kita tak mahu seperti usaha-usaha lepas, selepas dihantar memorandum, tidak ada apa-apa tindakan. Masing-masing diam, dalam industri pun ramai yang kecewa. Jadi insya-Allah jawatankuasa ini telah bertekad, kita akan usahakan sehingga perkara ini berjaya.
“Kita tak minta naik harga pun. Kita minta harga lantai sahaja supaya ia dikawal dan tidak terdedah kepada manipulasi atau persaingan yang tidak sihat di antara EHO (syarikat pengendali e-hailing), supaya ia lebih memberi ruang kepada EHO tempatan bersaing,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Gerakan yang dianggotai sembilan ahli jawatankuasa itu dijangka mengadakan pertemuan bersama wakil MOT pada petang ini selepas menganjurkan perhimpunan aman yang mengumpulkan kira-kira 50 pemandu e-hailing.
Pada 20 Disember 2024, media melaporkan lebih 1,200 pemandu di seluruh negara menuntut kerajaan menguatkuasakan kawalan harga lantai bagi tambang e-hailing secara serta-merta.
Kumpulan itu dilaporkan memberi masa selama sebulan kepada Anthony Loke untuk memberi jawapan balas kepada tuntutan mereka.
Menerusi memorandum yang diserahkan, gerakan itu mengemukakan sebanyak tujuh tuntutan berkaitan tambang dan kadar caj.
Dalam pada itu, menerusi pertemuan yang diadakan pada hari ini bersama wakil MOT, Zailani berharap tuntutan yang dikemukan dalam memorandum berkenaan dapat menerima pertimbangan yang sewajarnya.
Jelasnya, ini kerana gerakan berkenaan bukan sekadar mewakili pemandu e-hailing, malah para pengguna yang menggunakan khidmat tersebut. – UTUSAN