KUALA LUMPUR: Gejala sosial yang semakin berleluasa kini menjadi punca utama tekanan mental sehingga mendorong segelintir remaja memilih untuk bunuh diri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, fakta dan statistik menunjukkan gejala sosial di negara semakin meningkat.
Beliau berkata, gejala ini turut mencetuskan pelbagai masalah termasuk kemurungan yang boleh membawa kepada tindakan bunuh diri.
“Sebanyak 1,600 kes bunuh diri direkodkan dalam tempoh setahun lalu dengan kemurungan dikenal pasti sebagai antara punca utama.
“Saya difahamkan seorang daripada setiap 10 pelajar mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.
“Kita berharap melalui penganjuran Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS), kesedaran dapat dipupuk agar mereka mencari jalan memperbaiki diri dan mendapatkan bantuan sewajarnya,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan J-KIS Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah di sini, hari ini.
Lebih 900 pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti menghadiri program berkenaan yang bertujuan meningkatkan kefahaman tentang isu sosial seperti buli, salah guna dadah, pergaulan bebas dan gangguan mental.
Tambah Mohd. Naim, melalui program tersebut juga diharapkan agar pelajar menjadi ejen kepada perubahan di sekolah selain b meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar.
“Buli bukan satu amalan normal sebaliknya satu perbuatan salah yang boleh merosakkan masa depan. Kesedaran ini diharap dapat mendorong mereka menjadi ejen perubahan di sekolah dan komuniti,”katanya.
Mengulas lanjut Mohd. Naim berkata, program ini juga bakal diperluaskan kepada golongan dewasa dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri dan pelbagai pihak berkepentingan. – UTUSAN










