Gara-gara sebiji epal, RM1,000 Umie Aida melayang - Utusan Malaysia

Gara-gara sebiji epal, RM1,000 Umie Aida melayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Datin Seri Umie Aida terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1,000 selepas perlu membayar denda di Lapangan Terbang Auckland hanya kerana terseludup sebiji buah epal sebelum terbang ke New Zealand.

Menurut Umie, kecuaian tersebut menjadi pengajaran dan pengalaman yang melucukan buat dirinya meskipun perlu membayar sejumlah wang yang besar untuk sebiji epal

“Ini namanya takdir. Saya memang tak bawa apa-apa makanan ke New Zealand kerana nak memudahkan diri masa kat imigresen.

“Dijadikan cerita masa di tempat menunggu Mas Airline saya ambik sebiji epal untuk makan dalam pesawat sebelum tidur.

“Terlalu keletihan saya terus tidur dalam pesawat lupa bab epal. Bila sampai New Zealand, mereka scan beg ada epal dalam beg. Jadi kita kena denda bayar (NZD400) RM1,026,” kongsinya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Bagaimanapun, Umie juga sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati jika pergi ke negara orang.

Dalam hantaran tersebut, pelakon drama Keluarga Itu turut berkongsi video dirinya dibahan oleh rakan-rakan selebriti yang turut pergi ke New Zealand bersamanya.

Difahamkan, Umie ke negara itu bagi menjalani penggambaran drama bersiri yang turut disertai ramai pelakon termasuk Nora Danish, Datuk Remy Ishak dan Fattah Amin.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah meraih pelbagai respons daripada rakan selebriti dan peminat yang pernah mengalami situasi yang sama.

“Kejadian ini selalu terjadi dulu. Kami krew-krew pesawat selalu beringat-ingat sebab kadang-kadang lupa makan makanan yang kita tidak sedar ada dalam beg. Kalau tidak, tak pasal-pasal kena bayar denda,” komen penyanyi, Zarul Umbrella.

“Okey lah Kak Umie Aida, rombongan saya bulan lepas sebiji telur terbang NZD400. Sama kejadiannya sebab terlupa ada telur rebus dalam beg tangan,” komen netizen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN