KUALA KANGSAR: Galeri Sultan Azlan Shah di sini yang ditutup sejak pertengahan 2023 dijangka dibuka semula pada penghujung tahun ini sebelum bermulanya kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, galeri itu akan dijadikan antara lokasi tarikan pelancong sempena TMM 2026.
Beliau berkata, galeri itu kini sedang dibaik pulih dan mengambil masa terutama untuk mencari bahan binaan khusus yang sesuai dengan bangunan bersejarah tersebut.
“Oleh kerana ia bangunan warisan, kadangkala agak sukar untuk mendapatkan komponen bahan binaan di dalam pasaran. Perlu tempahan atau barangan itu perlu dicari di tempat lain. Ia berbeza dengan binaan bangunan biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Jambatan Victoria dekat sini hari ini.
Bangunan Galeri itu pada asalnya merupakan istana yang dinamakan Istana Ulu yang siap dibina pada tahun 1903 dan pernah menjadi tempat persemayaman beberapa Sultan Perak.
Kini ia merupakan sebuah galeri yang merakamkan sejarah dan peristiwa penting perjalanan hidup Almarhum Sultan Azlan Shah bermula dari zaman kanak-kanak sehinggalah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak yang ke-34 dan Yang Dipertuan Agong ke-9.
Mengikut notis pada Jun 2023, galeri itu ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja konservasi dan naik taraf pameran.
Sementara itu Sze Yee berkata, sepanjang tahun ini sehingga Julai sebanyak RM1.92 juta telah diperuntukan untuk pembangunan lokasi pelancongan di Kuala Kangsar.
Antara perbelanjaan terbesar ialah baik pulih Jambatan Victoria yang berusia 125 tahun serta penghasilan semula mural di pusat bandar Kuala Kangsar bagi menjadikan bandar diraja ini menjadi tarikan di dalam TMM 2026. – UTUSAN