DUNGUN: Seorang gadis di Kampung Pulau Serai, di sini, memohon bantuan orang ramai mengesan bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahannya yang berlangsung pada September ini.
Nur Amylia Zulaikha Mohd Faiza, 19, berkata, dia tidak pernah bertemu dengan bapanya, Mohd. Faiza Mat Yaman, 42, selepas ibu dan bapanya berpisah sejak dia berusia 40 hari.
“Saya dan ibu ditinggalkan ketika ibu masih dalam berpantang, ketika itu saya baru sahaja berusia 40 hari,” katanya di sini, semalam.
Nur Amylia Zulaikha berkata, kali terakhir bapanya yang berasal dari Kampung Baru Pak Sabah, di sini, pulang ke rumah adalah pada 2008, sebelum bercerai pada Jun 2010.
“Ibu dan ayah saya berkahwin pada Disember 2002 dan ketika itu mereka tinggal di Jalan Ustaz Omar Shukri, berhampiran Kuala Dungun.
“Saya sudah cuba mencari ayah termasuk menjejak beberapa lokasi termasuk di Serdang dan Kuala Lumpur, yang dikatakan pernah menjadi tempat ayah tinggal, namun sehingga kini belum menemuinya. Saya berharap ayah dapat menjadi wali untuk perkahwinan saya nanti,” katanya.
Nur Amylia boleh hubungi di 010-5960228. – UTUSAN