Filem tak laku, salah siapa? - Utusan Malaysia

Filem tak laku, salah siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ACAP kali kita melihat kejadian kegagalan filem-filem yang mungkin dikategorikan sebagai ‘sampah’ (oleh segelintir pihak) di layar perak. Seolahnya, sudah dapat dijangka dan diteka prestasi mereka.

Kalau diikutkan pemahaman Poklip, ‘sampah’ yang dimaksudkan adalah dari segi pengolahan cerita yang merepek, sinematografi yang entah apa-apa dan mungkin cerita yang tidak tahu mana hujung pangkalnya.

Bukan tidak ada, tetapi banyak sahaja filem yang boleh dikategorikan sebegitu. Tetapi bergantung juga kepada penerimaan. Perkara ini sangat subjektif dan terpulang kepada penonton sendiri.

Ada sahaja ya beberapa pelakon filem itu sendiri yang geleng kepala dengan hasil akhir naskhah lakonan mereka. Yang dilontarkan, yang diberi segalanya jadi kucar kacir dan lintang pukang.

Tetapi kebanyakan filem ‘sebegitu’ mungkin mempunyai limitasi sendiri. Sebagai contoh dana yang mungkin terlalu sedikit untuk menghasilkan naskhah bertaraf lima bintang. Jadi, dengan bajet yang ada itu sahajalah.

Sebab itu ada pembikin filem yang ‘panas’ hati dan lantang menyuarakan tentang kesukaran untuk mendapatkan dana. Malah, ada juga suara-suara yang mendakwa ada tidaktelusan dalam pembahagian dana.

Tetapi Poklip tidak pasti kesahihan isu tersebut. Poklip juga rasa, pastinya pihak bertanggungjawab sudah menjalankan amanah itu dengan telus dan sahih. Mungkin ada perbincangan dua hala yang boleh dilakukan.

Maka bila terhasilnya filem yang tidak ‘semenggah’, penonton juga kurang minat. Apatah lagi, bila tular pelbagai reaksi negatif terhadap naskhah tersebut membuatkan ramai yang tawar hati hendak membazir menonton.

Maka apabila filem tidak laku, kita tidak tahu mahu menyalahkan siapa. Ada yang menyalahkan pihak bertanggungjawab yang kononnya tidak menyokong pembangunan filem daripada kalangan pembikin baharu.

Tetapi tanya diri sendiri, adakah dengan dana yang mencukupi, mampukah filem yang plot dan jalan ceritanya tidak masak mampu untuk meraih kutipan lebih baik atau dalam kata lebih manis, pecah panggung?

Adakah wujud perubahan daripada pembikinan skrip yang mampan, sinematografi yang hebat dan juga paling penting, pengarahan yang dinamik dan kena dengan kemahuan penonton era kini?

Cuma kita faham jika penghasilan filem itu yang kurang serba serbi memungkinkan kesukaran untuk pecah panggung. Namun apa pula pandangan terhadap filem yang berbelanja berbelas juta namun kutipannya suam-suam sahaja?

Suam-suam sahaja jika dibandingkan dengan bajet yang dilabur. Kita tengok contoh terbaik, Keluang Man. Dengan kutipan tidak lebih RM6juta, filem berbajet RM13juta itu dianggap ‘gagal’ (jika dikira dari sudut kutipan).

Jujur Poklip rasa tidak adil untuk kita cop Keluang Man gagal. Mungkin penerbit dan pembikin filem cuma tidak nampak apa kunci utama keberhasilan yang sepatutnya diraih oleh filem adiwira pertama negara itu.

Sinematografi tidak kalah, lakonan juga dibarisi mereka yang punya pengalaman dan bakat tetapi dari sudut jalan cerita, gagal membawa nostalgia generasi Keluang Man untuk ke panggung.

Tidak silap Poklip, Keluang Man akan kembali dengan siri adiwira yang lebih gempak. Maka, bermula sekarang produser, pengarah dan penulis skrip seharusnya perah akal untuk mengembalikan Keluang Man yang dikenali kita.

Soal laku atau tidak ini juga bergantung kepada keadaan pasaran, ada filem yang sangat baik tetapi ketika ditayangkan, tidak menjadi. 

Anda bayangkan, sekiranya Puteri Gunung Ledang yang dihasilkan pada 2004 ditayang di tahun ini, adakah filem itu bakal menjadi filem paling laris sepanjang zaman? Kita tidak tahu tetapi jika Mat Kilau boleh, apatah lagi PGL. Tak gitu?

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN