Fattah Amin popularkan ‘keledek - Utusan Malaysia

Fattah Amin popularkan ‘keledek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 BUKAN, ini bukan tentang keledek daripada kategori makanan iaitu ubi. Tetapi apa yang Cik Bunga maksudkan adalah mengenai gelaran yang tidak semena-mena terpalit kepada kelompok peminat aktor yang juga duda terhangat, Fattah Amin. 

Entah kenapa, tiba-tiba sahaja gelaran ‘keledek’ boleh muncul dan dilabelkan kepada para penyokong Fattah hanya oleh segelintir warganet. 

Tercari-cari juga Cik Bunga apa sebab gelaran seperti itu boleh timbul? Apa kaitan dengan ubi keledek? Terlalu kreatif sangatkah warganet kita ini sampai manusia pun boleh disamakan dengan keledek? Memang menghairankan Cik Bunga juga. 

Tetapi, Cik Bunga syak, hal ini ada kaitan dengan ‘peperangan’ di alam maya antara penyokong Fattah dan juga penyokong Nur Fazura, bekas isteri aktor tersebut. 

Apa yang membuatkan Cik Bunga pelik, urusan perceraian mereka sudah lama selesai, tetapi peminat pula masing-masing seakan tidak boleh move on lagi dengan kontroversi artis kesayangan mereka di media sosial. 

Sebelah sini mengata dan memfitnah sebelah sana, yang sebelah sana pun sama naiknya juga cuba tegakkan keadilan kononnya, hendak londehkan rahsialah, perangailah, pendek kata saling berperanglah masing-masing demi membela selebriti pujaan. 

Kemudian Cik Bunga perasan, perbalahan antara peminat semakin ketara apabila isu membabitkan Fattah kononnya tidak cukup usaha menunjukkan kasih sayang dan sokongannya terhadap anak tunggal, Fatima, yang baru sahaja selesai konsert sekolah baru baru ini. 

Seakan ramai pula yang tumpang sekaki menjadikan ruang media sosial masing masing berbicara, membuat spekulasi dan ‘mendedahkan’ itu dan ini mengenai kedua dua selebriti kesayangan. 

Kadangkala Cik Bunga hairan, mereka ini macam duduk berjiran pula dengan si artis sampaikan tahu cerita luar dalam artis itu. 

Kalau masing-masing hendak pertahankan artis kesayangan masing-masing, itu Cik Bunga faham dan tak kisah pun sebab biasalah, kalau namanya peminat, mungkin mereka tidak suka hal negatif tertempel pada artis sanjungan mereka. 

Cuma, Cik Bunga mahu pesan, dalam konteks menaruh minat atau suka dengan artis kesayangan masing-masing, jangan sampai jadi taasub atau terlalu larut. Bawa bawa beringatlah juga sebab artis itu pun cuma manusia biasa. 

Sudah tentu baik Fattah mahu pun Fazura, ada kesilapan atau kekhilafan diri sendiri tetapi jangan sampai kita yang bukan berada di dalam kasut mereka, bertindak dan bercakap berlebih-lebihan seolah-olah tiada pedoman. 

Hendak menangkan artis itu dan ini, hasilnya untuk diri anda sendiri untuk apa? Dapat raih ganjaran apa? 

Cik Bunga rasa macam dapat dosa saja sebab duduk mengata dan menabur fitnah selain mengejek-ejek orang lain dengan panggilan atau gelaran tertentu yang jelik. Macam budak-budak sekolah pun ada. Entah-entah, budak sekolah sekarang pun tidak berperangai begini. Sudahnya, tak pasal-pasal nama keledek disensasikan di media sosial gara-gara mahu ‘serang’ Fattah. 

Okey, soalan cepu emas, kalau di sebelah Fattah, peminatnya digelar keledek, peminat di sebelah Fazura pula apa gelarannya? 

Jenis sayuran atau buah-buahan? Tak pasal-pasal buat Cik Bunga hendak berteka-teki pula. Sudah, tak payah bergaduh! Pergi pasar beli keledek, balik rebus atau bakar, lagi sedap makan bersulam kopi O.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN