Farid Kamil ‘berkampung’ 25 hari di banglo terbiar demi hayati watak - Utusan Malaysia

Farid Kamil ‘berkampung’ 25 hari di banglo terbiar demi hayati watak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Farid Kamil mendedahkan dirinya sanggup ‘berkampung’ selama 25 hari di sebuah banglo terbiar di Kuang yang dijadikan lokasi penggambaran bagi filem terbaharunya, Munajjim: Sekutu Iblis demi menghayati watak, Ayden.

Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, 44, berkata, pendekatan itu dilakukan kerana dia sukar menjiwai emosi dan elemen ketakutan yang diperlukan untuk menghidupkan watak tersebut walaupun selepas membaca skrip beberapa kali.

“Saya dimaklumkan filem ini diinspirasikan daripada kisah benar, tetapi apabila saya baca skrip, saya masih tak dapat gambaran jelas unsur ketakutan yang saya patut alami.

“Mungkin sebab saya dahulu membesar di rumah nenek saya di Kedah, yang terletak bersebelahan tanah perkuburan. Jadi, perasaan takut itu memang dah biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Munajjim: Sekutu Iblis, baru-baru ini.

Katanya, keputusan untuk menetap di banglo terbiar yang telah lebih 10 tahun tidak berpenghuni itu dibuat bagi membantunya lebih menghayati suasana mistik serta tekanan emosi dalam filem tersebut.

“Pada mulanya memang susah nak tidur sebab nyamuk terlalu banyak. Dalam rumah yang saya inap tu ada lima katil.

“Saya cuba tidur di setiap satunya, akhirnya katil kelima berhadapan pintu barulah saya boleh lena,” jelasnya.

Meskipun ramai menjangkakan pengalaman tinggal di rumah tinggal akan dihantui kejadian aneh, Farid menegaskan tiada sebarang gangguan mistik berlaku sepanjang berada di situ, kecuali sedikit gangguan fizikal.

“Saya rasa badan saya macam ditolak-tolak bila nak tidur. Tapi saya rasa itu lebih kepada tekanan mental atau fizikal sendiri, bukan sebab makhluk halus. Bunyi-bunyi pelik pun sebenarnya datang daripada tupai di siling,” katanya.

Selain pengalaman mendalami watak untuk filem ini, Farid turut berkongsi pengalaman lain yang pernah dilakukannya ketika membintangi Anwar: The Untold Story, apabila hadir ke ceramah politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyamar.

“Saya berpurdah pergi ke situ, jadi orang tak perasan. Dan yang perasan saya hanya Mat Sabu seorang sahaja pada ketika itu. Itu cara saya mendalami karakter,” ujarnya.

Munajjim: Sekutu Iblis arahan Faizul A Rashid yang kini sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara. Filem tersebut turut dibintangi Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis dan Daniel Aqil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN