SHAH ALAM: Ibu bapa atau pemandu bertanggungjawab memastikan keselamatan anak-anak di dalam kereta yang dinaiki bersama terjamin.
Keselamatan penumpang di dalam kereta menjadi tanggungjawab ibu bapa mahu pun pemandu yang membawa anak-anak atau pun penumpang di dalam sesebuah kenderaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sesiapa sahaja yang menaiki kenderaan tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak perlu mematuhi undang-undang ketika berada di dalamnya.
“Diharapkan ibu bapa dan keluarga atau sesiapa sahaja untuk memastikan sesiapa yang menjadi penumpang selain pemandunya menggunakan tali pinggang keselamatan.
“Undang-undang (pemakaian tali pinggang keselamatan) sememangnya telah dikuatkuasakan cuma kalau penumpang di dalam bas boleh kita berhentikan,tetapi jika di dalam kereta terlalu banyak (untuk pemeriksaan dilakukan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Tokoh Alumni dan pelancaran Tabung Kasih Siswa, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Pengangkutan memaklumkan ketiadaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) antara punca menyebabkan seorang bayi maut dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang, kelmarin.
Menterinya Anthony Loke berkata, laporan polis dan siasatan awal mendapati bayi terbabit tidak diletakkan dalam child seat ketika kejadian.
Nancy berkata, secara asasnya dengan mematuhi undang-undang jalan raya sahaja, pemandu dapat memastikan kecederaan atau kematian akibat kemalangan dapat dielakkan daripada menimpa penumpang sesebuah kenderaan semasa ia beroperasi di jalan mahupun lebuh raya.
“Jangan mengharapkan orang (penguatkuasa) sahaja untuk menguatkuasakannya. Janganlah sehingga berlaku kemalangan baru kita tahu (wujud undang-undang untuk memakai tali pinggang keselamatan),” ujarnya. – UTUSAN










