PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memberitahu tidak menjadi isu bagi dirinya apabila tidak ditawarkan lanjutan perkhidmatan selama enam bulan.
Beliau juga tidak merasa sedih kerana tidak ditawarkan lanjutan perkhidmatan itu.
Ujar, Ketua Hakim Negara Wanita pertama itu, tempoh enam bulan itu tidak memberikan makna buatnya jika dibandingkan dengan tempoh enam tahun perkhidmatannya.
“Apa yang saya boleh katakan, saya telah berkhidmat selama enam tahun bermula 2 Mei 2019 dalam keadaan sihat dan tu saya anggap itu satu rahmat.
“Dan (saya) tiada rasa sesal kerana saya telah melengkapkan tempoh perkhidmatan saya sebagai Ketua Hakim Negara.
“Hanya kerana saya tidak dilanjutkan perkhidmatan untuk tempoh enam bulan, tidak menjadi isu buat saya. Tiada isu langsung. Enam bulan tidak penting berbanding enam tahun,” kata Tengku Maimun.
Menjawab pertanyaan berhubung pencapaiannya sepanjang berkhidmat, Tengku Maimun menyatakan adalah tidak sesuai untuk beliau menyenaraikan sebaliknya terletak kepada orang awam untuk menilainya.
“Apa yang saya boleh katakan, saya telah berjaya mengembalikan keyakinan awan terhadap badan kehakiman. Saya mengharapkan, sesiapa sahaja yang menggantikan saya selepas ini agar meneruskan legasi sedia ada,” katanya.
Tengku Maimun turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada Majlis dan Badan Peguam terutamanya para peguam termasuk peguam-peguam di Sabah dan Sarawak.
“Saya berterima kasih kepada peguam-peguam termasuk mereka di Sabah dan Sarawak kerana memberikan sokongan kuat kepada saya.
“Saya fikir mereka faham bahawa kekuatan badan kehakiman bergantung kepada kekuatan Majlis dan Badan Peguam. Dan dengan itu, saya sangat berterima kasih kepada mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas secara rasmi menamatkan perkhidmatannya di akhir waktu bekerja di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Warga Istana Kehakiman berkumpul di ruang lobi sejak pukul 4.50 petang turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Tengku Maimun.
Esok, Tengku Maimun akan mencapai umur persaraan wajib 66 tahun.
Tengku Maimun dilantik menjadi Ketu Hakim Negara ke-16 menggantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April 2019 setelah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan.
Tengku Maimun dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November tahun lalu dan sebelum itu sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dari 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.
Di peringkat awal, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.
Pada April 2011 hingga 7 Januari 2013 dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Shah Alam, Selangor.-UTUSAN