SEREMBAN: Sekurang-kurangnya tiga orang maut selepas terlibat nahas membabitkan 14 buah motosikal yang dipercayai sedang berkonvoi dalam kejadian di Kilometer 262, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi tadi, kesemua yang terbabit nahas dalam perjalanan dari sebuah kedai makan di Seremban dan memasuki lebuh raya menuju arah utara.
Menurut sumber, konvoi berkenaan melibatkan 14 buah motosikal pelbagai jenis dan kemalangan itu berlaku sebelum susur keluar Seremban/Labu.
“Semasa melalui lokasi kejadian, motosikal-motosikal dalam konvoi tersebut telah bergesel sesama sendiri menyebabkan beberapa penunggang motosikal hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan.
“Akibat kejadian itu, tiga penunggang disahkan maut di tempat kejadian. Beberapa orang lagi mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes berkenaan masih dalam siasatan.
Laporan lanjut akan menyusul kemudian. – UTUSAN










