PETALING JAYA: Empat lokasi di tiga buah negeri mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 11 pagi ini.
Berdasarkan Sistem Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua bacaan tertinggi direkodkan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (153) dan Seremban (152).
Dua lagi kawasan yang merekodkan bacaan tertinggi ialah di Johan Setia, Selangor (152), diikuti Kuantan, Pahang (132).
Sementara itu, sebanyak 64 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana dengan bacaan 52 sehingga 98.
Antara kawasan yang terlibat ialah Banting, Selangor (98), Kuala Terengganu, Terengganu (85), Petaling Jaya, Selangor (78), Alor Setar, Kedah (61) dan Kapit, Sarawak (52).
Bagaimanapun, hanya satu lokasi merekodkan kualiti udara berada pada keadaan yang baik iaitu di Langkawi, Kedah dengan bacaan 42. – UTUSAN