Emanuel, Otis taruhan KRW harungi Liga A1 Semi Pro

Emanuel, Otis taruhan KRW harungi Liga A1 Semi Pro

BARISAN pemain Kelantan Red Warrior FC mempamerkan jersi baharu bagi menghadapi liga A1 semipro pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Kelantan Red Warrior FC 2025-2026 di Kota Bharu. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Gandingan pemain sayap dari Cameroon, Emanuel Embargo dan pemain sayap kebangsaan Pakistan kelahiran England, Otis Khan menjadi taruhan Kelantan Red Warriors (KRW) bagi mengharungi  saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025-2026.

Kedua-dua pemain import tersebut diperkenal secara rasmi bersama 27 lagi anak didik ketua jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim termasuk pemain tengah menyerang dari Australia, Kayden Craig Soper yang sebelum ini pernah bermain bersama Manjung City FC.

Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, persiapan pasukan berpangkalan di Kota Bharu itu boleh dikatakan sudah mencapai tahap 100 peratus berikutan mempunyai bilangan pemain mencukupi dan melengkapkan kuota import.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cuma kita sedang mencari seorang lagi pemain di posisi pertahanan tengah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas kapten pasukan, Muhammad Yusri Yuhasmadi yang kini secara rasmi bergelar penjawat awam.

“Kita mahu seorang pemain tengah sejati seperti Muhammad Yusri. Kita masih mencari tetapi sehingga kini bilangan pemain sudah mencukupi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain KRW di Tunjong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nik Hafiz Naim berkata, usaha mencari dana dilaksanakan secara berteruskan oleh pihak pengurusan KRW termasuk untuk persiapan musim-musim mendatang.

“Dana kewangan ini kita sentiasa kena cari sebab bukan kita mahu guna pada musim ini sahaja. Andainya kita berjaya melangkah ke Liga Super pada musim depan, sudah tentu kita memerlukan dana lebih besar dengan amaun minimum RM6 juta atau lebih. Jadi usaha itu perlu berterusan sejak awal.

“Kita cari sedikit demi sedikit termasuk melalui penjualan pas bermusim RM119 terbuka dan RM399 untuk ‘grand stand’. Selain itu, kita juga berharap 40 peratus daripada keuntungan bersih penjualan jersi dapat membantu kantung kewangan pasukan,” katanya.

Nik Hafiz Naim memberitahu, KRW menggunakan logo yang pernah digunakan oleh pasukan Kelantan 2012 atau lebih dikenali sebagai The Red Warriors (TRW) Treble sebagai logo rasmi pasukan dan telah mendapat restu serta pengiktirafan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini