Eksekutif saham rugi RM1.24 juta ditipu 'scammer' menyamar polis

Eksekutif saham rugi RM1.24 juta ditipu ‘scammer’ menyamar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang eksekutif broker saham wanita kerugian RM1.24 juta selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 47 tahun, menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil Pos Laju Malaysia pada 20 Jun lalu, ketika berada di tempat kerja di sini.

“Suspek mendakwa terdapat bungkusan mencurigakan atas nama mangsa mengandungi kad pengenalan, kad ATM (mesin pengeluaran wang automatik) dan buku cek yang dihantar dari Kuching ke Terengganu. Bungkusan itu katanya, bagaimanapun telah ditahan oleh pihak polis.

“Panggilan tersebut kemudian disambung kononnya ke Balai Polis Terengganu dan mangsa telah bercakap dengan seorang ‘pegawai polis’ yang memaklumkan bahawa akaun bank miliknya disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Alwi, `pegawai polis’ terbabit seterusnya meminta mangsa menyerahkan semua wang miliknya untuk tujuan audit dan menyatakan bahawa wang berkenaan akan dipulangkan selepas siasatan selesai. 

“Mangsa turut diugut kononnya akan dikenakan waran tangkap sekiranya gagal berbuat demikian. Kerana bimbang, mangsa membuat 26 transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza dari 26 hingga 30 Jun lalu, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM1.2 juta,” katanya.

Tambah Mohd. Alwi, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan kejadian berkenaan kepada ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN